BN Jangan Lupa Khairy Pernah Guna Pesawat Persendirian Patrick Lim


KUALA LUMPUR, 2 OKT: Ahli Parlimen BN tidak perlu mempertikaikan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menaiki jet persendirian ke Sabah bulan lalu kerana beliau tidak mempunyai apa-apa kuasa dalam kerajaan.
Sebaliknya, BN diingatkan agar tidak lupa dengan pemimpin mereka, seperti MP Rembau Khairy Jamaluddin, yang pernah menaiki pesawat persendirian milik individu yang mempunyai kepentingan perniagaan.
Demikian menurut MP Machang, Datuk Saifuddin Nasution Ismail ketika membahaskan Rang Undang-undang Pengurusan Strata 2012 di Dewan Rakyat hari ini.
“Anwar dia naik jet, dia tidak ada kuasa nak beri Permit Diluluskan (AP) kepada sesiapa sebab dia pembangkang. Tetapi BN jangan lupa (Ahli Parlimen) Rembau (Khairy Jamaluddin) dengan helikopter Patrick Lim.
“Ada juga 30 kakitangan menteri naik jet kononnya untuk menguruskan jenazah, okeylah, tetapi jenazahnya tak naik jet. Cuma naik penerbangan ehsan TUDM, yang naik jet adalah orang hidup,” kata Saifuddin.
Semasa pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Khairy yang merupakan menantu Abdullah, pernah didakwa mempunyai pengaruh dalam keputusan yang dibuat kerajaan pusat ketika itu.
Ahli perniagaan terkenal, Patrick Lim ketika di era Abdullah, memperolehi banyak projek di bawah Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) menerusi syarikat Equine Capital.
Ini termasuk pembangunan tanah Crescentia Park yang bernilai RM 800 juta dan pembangunan semula padang lumba kuda Pulau Pinang yang bernilai RM 25 bilion.
Saifuddin turut memberitahu Dewan Rakyat, selain Khairy, Menteri Besar Johor, Datuk Abd Ghani Othman juga pernah menggunakan jet yang disediakan oleh pemilik Danga Bay di Johor Bahru.
Selain Ghani, beliau berkata tindakan menggunakan pesawat persendirian dengan dibiayai individu tertentu turut melibatkan menteri lain dan ‘pemimpin simpanan’ Umno-BN.
Beliau juga menambah, tindakan pegawai kerajaan dan menteri kabinet menggunakan pesawat persendirian yang dibiayai oleh individu tertentu mampu mempengaruhi keputusan kerajaan yang membabitkan kepentingan individu tersebut.
.

0 Komen pengunjong :