KUALA LUMPUR: Di Johor, orang tidak tanya MCA akan
tinggal berapa kerusi sahaja lagi tetapi orang tanya tinggal berapa
orang sahaja lagi di dalam MCA, kata Mohamad Sabu.
"Itu baru di Johor, tempat lain pun sama atau mungkin lebih teruk untuk Umno BN (Barisan Nasional)," katanya lagi.
Timbalan Presiden PAS itu menyatakan demikian merujuk kepada
kesan Bajet 2013 yang dibentangkan Datuk Seri Najib Razak yang
disifatkan tidak memberi kesan besar kepada perubahan sokongan rakyat
untuk menyokong BN.
Di Johor katanta, MCA dalam keadaan nazak, dan bajet BN itu tidak mungkin akan memberi nyawa baru untuk menyelamatkan parti itu.
Menjelaskan lebih lanjut apa yang dimaksudkannya itu, Mohamad
berkata, rata-rata orang Cina tidak peduli pun belanjawan itu kerana
yang lebih penting bagi mereka ialah tarikh pilihan raya kerana mereka
sudah tidak sabar hendak menamatkan cengkaman kuasa Umno Barisan BN.
"Itu belanjawan untuk menyasarkan sebahagian orang Melayu, sebab
orang Cina tidak hairan dengan duit RM250 sekali bagi itu," katanya.
Malah, katanya, orang-orang Cina rata-ratanya tidak mengendahkan umpan yang bertujuan memancing undi mereka itu.
Mohamad berkata, kerajaan Umno BN terus merosakkan orang-orang
Melayu apabila meneruskan amalan 'memberi ikan dan bukan kail' kepada
mereka melalui pemberian duit sekali bagi dan pemberian-pemberian lain
seumpamanya.
"Ketika bangsa lain boleh diumpamakan sudah maju dengan peralatan
canggih untuk menangkap ikan di laut dalam, kerajaan Umno BN terus
merosakkan orang-orang Melayu dengan memberikan ikan kepada mereka dan
bukan memberi kail," katanya lagi.
Mohamad berharap orang-orang Melayu menolak perbuatan menghinakan
mereka dengan duit sekali bagi seperti itu dan menuntut penyelesaian
jangka masa panjang terhadap masalah asas mereka.
Umpamanya, kata beliau, masalah pengangguran yang sebahagian besarnya melibatkan orang-orang Melayu.
"Belum kira lagi yang tidak graduan, yang bertaraf siswazah pun
sehingga 40,000 orang menganggur kebanyakannya berbangsa Melayu,"
katanya.
Beliau meminta orang-orang Melayu berfikir, adakah duit sekali bagi RM250 boleh menyelesaikan masalah mereka?
"Jangan biarkan kerajaan Umno BN hina kita dengan gula-gula murahan seperti itu," kata Mohamad.
.
0 Komen pengunjong :