Tidak mustahil Umno taja individu pijak potret PM dan Rosmah - Khalid Samad


KUALA LUMPUR, 4 Sept — Ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad tidak menolak kemungkinan individu yang memijak potret Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor tersebut diupah oleh Umno demi untuk dijadikan sebab untuk menghentam Pakatan Rakyat (PR). “Tidak mustahil Umno yang taja mereka untuk mencetuskan provokasi serta memperbesarkan isu berkenaan,” katanya ketika dihubungi oleh The Malaysian Insider semalam.
Khalid menasihati pemimpin Umno agar mencermin diri sendiri mereka terlebih dahulu sebelum menunding jari kepada PR dalam isu potret PM dan isterinya yang dipijak pada malam perhimpunan ”Janji Bersih” yang berlangsung di Dataran Merdeka Khamis lalu.
Potret Khalid juga pernah dipijak pada tahun 2009 oleh beberapa individu daripada NGO Melayu pro-Umno semasa perhimpunan “Kepala Lembu” di bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor bagi membantah cadangan pemindahan kuil Hindu ke kawasan mereka.
“Saya dan pimpinan PAS tidak menyokong tindakan individu yang bertindak memijak potret PM, namun begitu, mereka daripada Umno tidak boleh pilih kasih dan perlu mencermin diri sendiri sebelum menunding jari kepada PR dalam insiden tersebut,” katanya.
Yang Dipertua PAS Shah Alam itu juga mengungkit beberapa kes sebelum ini apabila terdapat gambar yang berlegar di ruang maya menunjukkan potret pemimpin parti tersebut seperti Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dihina dengan beberapa indvidu bertindak kencing ke atas poster mereka.
Khalid menegaskan PR konsisten dengan pendirian mereka dan tidak akan berkompromi dengan tindakan tidak berakhlak sedemikian dan memberikan contoh insiden memijak gambar oleh pemimpin DAP di Perak kerana tidak berpuas hati dengan kes lompat parti hingga menumbangkan kerajaan PR di Perak.
“Kami dalam PR konsisten, sebagai contoh kes di Perak. Kami tidak bersetuju dengan tindakan beberapa pemimpin dalam PR yang memijak gambar tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang melompat sokong BN,” katanya.
Isu-isu sedemikian dianggap oleh Khalid sebagai modal Umno menjelang pilihan raya umum (PRU)  ke-13, sambil menyifatkan ia sebagai perkara remeh-temeh jika dibandingkan dengan isu dasar, pentadbiran, ketelusan dan tanggungjawab kepada rakyat yang diketengahkan oleh PR.
“Berbanding dengan isu yang dibawa Umno, PR lebih mengutamakan isu umum yang lebih penting seperti isu dasar, kecekapan, pentadbiran yang telus dan bukannya isu remeh seperti ini,” tambah beliau.
Insiden memijak potret tersebut mendapat perhatian pihak Polis Diraja Malaysia.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin semalam dalam kenyataan kepada The Malaysian Insider menyatakan pihaknya akan menyiasat insiden tersebut mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan kerana menimbulkan mudarat serta Seksyen 504 Kanun Keseksaan dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan.
Dalam perhimpunan “Janji Bersih” anjuran Gabungan Janji - gabungan 47 badan NGO malam Khamis lalu, beberapa laporan media menyelar tindakan peserta yang bertindak memijak gambar pemimpin negara, menunjukkan punggung dan mempamerkan bendera “Sang Saka Malaya” yang dikatakan bagi menggantikan Jalur Gemilang.
Himpunan tersebut yang tamat sejurus detik 12 malam telah berlangsung dengan kehadiran sekitar 5,000 penyokong mereka menunjukkan komitmen kepada demokrasi dengan sempena sambutan ambang Merdeka negara.
.

0 Komen pengunjong :