Bagaikan trisula menikam sanubari rakyat Malaysia, trio logo dan lagu
Hari Merdeka serta kostum yang diperagakan kontinjen Malaysia di Sukan
Olimpik pastinya akan mengekalkan parut untuk sekurang-kurang dua tiga
tahun lagi. Barangkali sehingga rakyat puas mencemuh. Dan itu tidak
boleh ditentukan bila penghujungnya.
Kostum dengan motif harimau yang diperagakan atlit negara di majlis
pembukaan Sukan Olimpik telah dinobatkan sebagai antara kostum paling
buruk dalam laporan berita Yahoo!
Seolah-olah sudah tidak ada motif lain bercirikan Malaysia yang boleh
digunakan supaya kontinjen negara segak bergaya di pentas antarabangsa.
Seolah-olahnya rakyat Malaysia ini tidak punya nilai dan selera budaya
yang internasional. Macam kita ini semua suka yang buruk belaka.
Sama kesnya dengan hal logo Hari Merdeka. Isu logo hari Merdeka –
meski sudah ditarik balik rekaannya itu secara kelam kabut oleh pihak
pemerintah, adalah penghinaan maha besar kepada selera dan intelek
rakyat jelata. Ini jelas kelihatan di kalangan komuniti media sosial
yang kebanyakannya terdedah kepada aplikasi rekaan grafik digital.
Slogan
Apalagi dengan kemampuan carian gambar di Google yang membolehkan
kita mencari logo-logo hari kemerdekaan negara-negara lain untuk dibuat
perbandingan. Malu yang ditanggung amatlah besar. Ini belum dikira malu
yang ditanggung setelah mendapati bahawa Singapura, pada sambutan
kemerdekaannya pada tahun 1990 pernah menggunakan slogan ‘One People,
One Nation, One Singapore’ (Satu Rakyat, Satu Negara, Satu Singapura).
Kita harus sedia tahu bahawa tema hari kemerdekaan ini bukan benda
remeh. Cuba kalau kumpulan ultra-Melayu yang bernama Perkasa ubah
slogannya kepada ‘Bersama Makan Buah-buahan Tempatan’, bukankah lari
jauh maksud penubuhan organisasi tersebut? Jadi slogan harus selari
dengan pertubuhan.
Kita harus pergi kepada persoalan akar umbi yang mencetus kontroversi
tema, logo dan lagu Hari Merdeka tahun ini; tidak lain tidak bukan
berpokok pangkal kepada Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim.
Rais Yatim, dikenali ramai dalam rangkaian media sosial sebagai
‘#yorais’; setelah dengan cemerlang meletakkan dirinya sebagai ‘trending
topic’ di laman Twitter berikutan komen beliau bahawa Twitter dan
Facebook adalah alat dunia Barat yang akan menghakis budaya Malaysia.
Beliau kemudiannya meneruskan legasi di alam cyber dengan pelbagai
langkah-langkah sekatan yang cuba membungkam kebebasan rakyat di
internet.
Lagu
Dan tulisan liriknya untuk lagu tema Hari Merdeka tahun ini
barangkali seperti peribahsa Arab yakni menjadi jerami terakhir yang
mematahkan belakang unta; dan memperlihatkan betapa lekehnya insan ini
sebagai menteri propaganda untuk Barisan Nasional.
Untuk faedah mereka yang tidak begitu ambil berat tentang salah silap
menteri Barisan Nasional, saya hadirkan di sini bait-bait syair karya
agung yang ditulis Rais Yatim dalam usaha beliau untuk kekal relevan
dalam politik transformasi anjuran Menteri Perdana Najib Razak. Rais
menulis:
Macam malam ikut siang,
Macam bulan ikut matahari,
Satu Malaysia terus berjuang,
Janji kita ditepati,
Kata kita dikota,
Janji kita ditepati,
Hidup rakyat dibela,
Masa depan diberkati,
Janji sudah ditepati,
Kini masa balas budi.
Eh! ‘Janji sudah ditepati, Kini masa balas budi’? Ewah-ewah indahnya
bahasa. Ayat terakhir itu mungkin faktor utama kenapa video lagu itu di
Youtube menerima undi tidak suka paling epik dalam sejarah.
Setakat waktu rencana ini ditulis, video pertama dalam carian ‘janji
ditepati’ di Youtube sudah ditonton 110,210 kali dengan 222 undi ‘suka’
dan 12,956 undi ‘tidak suka’. Pautan kedua dalam senarai itu lebih
parah. 169,824 kali ditonton; 265 yang suka, 19,700 tidak suka.
Selebihnya barangkali tidak mengundi suka atau tidak, dan terus tutup
tetingkap selepas baris ‘Kini masa balas budi’.
Pautan ketiga daripada senarai langsung terus tidak membenarkan pengundian dan komen. Takut, mungkin.
Kenapa begitu ganas sekali daya tolakan rakyat terhadap propaganda si
Rais ini? Apa salahnya kalau ‘Janji Ditepati’? Bukankah Barisan
Nasional dikatakan telah berjaya menepati janji-janjinya memajukan
negara? Bukankah Utusan Malaysia dan TV3 sudah membuktikan betapa
agungnya Barisan Nasional? Kenapa masih ditolak tema itu?
Adakah kerana melodi lagunya itu diplagiat daripada lagu ‘Tuhanku
Maha Besar’ yang menurut Youtube, telah dinyanyikan di majlis “Ibadah
Peringatan Kenaikan Tuhan Yesus Kristus ke Surga” pada 21 Mei 2009 di
Jalan Lengkong Kecil 34 -36 Bandung, Indonesia?
Apa pula kata Perkasa dan Hasan Ali dengan hakikat ini? Adakah wujud
pula konspirasi mahu menubuhkan negara Kristian dengan lagu melodi
saduran itu sempena Hari Merdeka kita?
Logo
Segala bobrok dan celaka yang terpalit dengan pembikinan lagu ini
tambah membusuk apabila dipasangkan dengan logo yang barangkali dibuat
guna Microsoft Word dalam jangkamasa kurang tiga minit itu.
Pihak pemerintah walau bagaimanapun akhirnya akur dengan tekanan dan
menggantikan logo yang maha buruk itu dengan logo 1Malaysia, sama
seperti tahun sudah dan tahun sebelum itu.
Kata Rais Yatim, langkah itu diambil bagi membendung salah faham yang
timbul. Tidak, Rais; kami tidak salah faham. Kami faham sangat bahawa
logo tersebut telah direka secara malas, dan dipamerkan kepada rakyat
jelata tanpa segan silu.
Tidak susah untuk faham propaganda ‘Janji Ditepati’ yang cuba
dihidangkan kepada rakyat. Tidak ada salah faham di situ. Namun mesejnya
akan jauh lebih jelas jika diletak sekali logo Barisan Nasional dengan
saranan supaya parti tersebut terus diundi pada pilhanraya umum yang
nampak gayanya hanya akan berlangsung tahun hadapan.
Sabotaj?
Ini membawa kita kepada persoalan seterusnya: Adakah Rais Yatim sedang cuba mensabotaj perancangan Najib Razak?
Kita tahu Rais Yatim pernah dahulu duduk bersama oposisi, di zaman
beliau begitu tidak percaya kepada media arus perdana. Pastinya Rais
masih ingat kata-katanya di dalam ceramah Semangat 46 dahulu. Katanya,
“Tuan-tuan dengar lah. Tapi kalau dengar daripada tivi-tiga, mungkin
lain bunyinya. Kalau dengar dari ar-ti-em, jangan katakan lain bunyi,
langsung tak berbunyi”. Inilah insan yang akhirnya kini menjabat
portfolio propaganda dalam pentadbiran Najib Razak.
Apakah Rais Yatim tidak perhati baik-baik senarai tema Hari Merdeka
yang ada di Wikipedia (kalau dia cari tak jumpa di pejabatnya itu)?
Apakah Rais tidak menilai aspek bahasa dan mesej yang mahu disampaikan
kepada sekian banyak pengundi yang mahu ditarbiahnya supaya memangkah
logo dacing? Penyudahnya ‘Janji Ditepati’ dan ‘kini masa balas budi’
yang dipilih?
Bukankah baik jika mencontohi bahasa yang baik dalam tema tahun 1978
contohnya, “Kebudayaan Sendiri Perpaduan”. Atau mengikut trend bermula
1979 sehingga 1982 yang mengekalkan kata ‘disiplin’ di dalam temanya.
Rais Yatim harus jawab, apa sebenarnya yang sedang cuba beliau lakukan kepada kempen politik Najib Razak.
Apakah beliau juga bertanggungjawab terhadap rekaan kostum hodoh
kontinjen Malaysia di sukan Olimpik? Saya harap tidak.
–/ Roketkini.com
.
0 Komen pengunjong :