Rafizi : Penahanan Untuk Lindungi Skandal Projek LRT Ampang


SHAH ALAM, 1 OGOS: Pendakwaan terhadap Pengarah Startegi PKR, Rafizi Ramli berhubung pendedahan tiga akaun kewangan berkaitan National Fidlot Corporation (NFC) hari ini dibuat bertujuan untuk melindungi skandal projek LRT Ampang diketahui umum.
Demikian beritahu Rafizi kepada media selepas menjelaskan bayaran ikat jamin, RM15,000 di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada jam 2.20 petang tadi.
Seorang lagi tertuduh, bekas kerani Public Bank, Johari Muhammad turut dikenakan jumlah ikat jamin yang sama.
Kedua-duanya didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini kerana mendedahkan tiga akaun kewangan berkaitan National Feedlot Corporation (NFC) dan pengerusinya Mohd Salleh Ismail.
“Harapan Datuk Seri Najib, beliau sanggup mengorbankan Datuk Seri Sharizat supaya semua tumpuan kepada NFC, supaya rakyat marah kepada NFC.
“Juga supaya saya sendiri tiada masa untuk beri tumpuan kepada kes George Kent dan rakyat juga beralih dari isu George Kent kepada NFC semula,” kata Rafizi.
Tindakan pendakwaan yang secara tiba-tiba dan tergesa-gesa itu turut membuktikan tindakan pendakwaan terhadap Rafizi mempunyai agenda tersembunyi.
“Ini seratus peratus bermotif politik kerana saya tahu siasatan telah dibuat lama.
“Saya juga dah disoal siasat lama sebelum ini, tetapi baru hari ini pendakwaan dibuat dengan tergesa-gesa menunjukan ini ada kaitan dengan penganugerahan kontrak George Kent,” katanya lagi.
Bagaimanapun menurut Rafizi lagi, beliau tetap meneruskan pendedahan skandal projek pembinaan LRT Ampang itu.
Selain itu Rafizi turut menganggap tindakan polis yang menyerbu ke rumah beliau dan Johari pada awal pagi ini merupakan tindakan tidak perlu.
Johari merupakan kakitangan bank yang dikatakan membekalkan maklumat berhubung akaun NFC di bank itu.
“Saya nak tegur, tak perlu pihak polis dan Bank Negara bertindak datang dan tahan kami pagi-pagi sebab kalau diberikan notis awal-awal kami akan datang.
“Sebelum ini pun dah berapa kali saya dipanggil, saya datang dan berikan kerjasama.
“Dalam kes saya hari ini, mereka datang jerkah, menjerit dan ugut nak pecahkan pintu,” katanya lagi.
Selain Rafizi, kenderaan milik Johari juga di hadang dengan kenderaan polis bagi memastikan beliau tidak dapat menggunakan kenderaan itu untuk melarikan diri.
Sebelum itu dalam isu sama, peguam, N Surendran pula menganggap nasib Pengerusi NFC, Salleh Ismail bernasib baik apabila menerima layanan baik dari polis semasa proses penahanan berbanding Rafizi yang bertindak mendedahkan penyelewengan dana kerajaan.
“Orang yang buat pendedahan penyelewengan dana awam nampaknya menerima layanan lebih buruk dari orang yang melakukan penyelewengan,” kata Surendran yang juga merupakan Naib Presiden PKR itu.
.

0 Komen pengunjong :