"Hampir 37 tahun kita ditipu, kini mereka sudah mengaku. Dan
kita rakyat Kelantan bukan tidak percaya tetapi kami tidak berapa nak
percaya." Demikian entri satu blog yang mengulas perkembangan hari ini.
Kelantan sedar dan membawa pertikaian royalti minyak sejak lapan tahun lalu.
Pada Januari 2010, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat
mengulangi pendiriannya - tindakan kerajaan pusat hanya mahu beri wang
ihsan adalah satu pengkhianatan, dan tidak akan teragak-agak untuk
meminta rakyat adakan doa musnah pemimpin pusat.
Hari ini beliau kelihatan gembira dengan berita menerima surat daripada
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu berunding
mengenai isu tersebut menerusi satu jawatankuasa khas.
Selepas satu siri 'tarik tali' sejak satu tempoh yang agak lama,
perkembangan yang didengar banyak pihak hari ini sesuatu yang agak
mengejutkan - lebih-lebih lagi ketika Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13)
semakin dekat.
Rata-rata penganalisis melihat persetujuan Putrajaya untuk
membincangkan isu royalti minyak dengan Kerajaan Negeri Kelantan dengan
lebih komprehensif dilihat sebagai satu cara terbaik mengukuhkan
perpaduan orang Melayu semakin berpecah selain bertujuan melakukan
pembangunan di negeri itu, sekali gus memancing pengundi atas pagar
menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.
Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani dari Universiti Utara Malaysia berkata,
rundingan yang akan dilakukan oleh Najib bersama kerajaan negeri
Kelantan bakal membawa perubahan kepada rakyat negeri itu dari segi
pembangunan dan sosioekonomi.
Menurutnya, Kelantan yang dilihat sedikit mundur berbanding dengan
negeri lain di Malaysia akan lebih membangun sekiranya royalti minyak
itu diberi secara betul kepada kerajaan negeri dan rakyat membuka ruang
khususnya pengundi atas pagar memilih kerajaan Umno-Barisan Nasional
(BN).
"Jika rundingan itu berlaku dan perjanjian dibuat oleh kerajaan pusat
dan negeri Kelantan mengenai isu royalti minyak, rakyat akan menerima
tempias dalam ekonomi terutamanya pembangunan sekali gus membantu
menarik pengundi atas pagar memilih BN.
"Serba sedikit rakyat akan buang perasaan tak senang yang anggap Umno
lakukan penganiayaan serta penindasan dilakukan oleh kaum Melayu
sendiri," katanya kepada Sinar Harian Online.
Dalam pengumumannya, Nik Abdul Aziz memberitahu bahawa Najib telah
menghantar surat kepada beliau memintanya menghantar wakil untuk
membincangkan pembayaran royalti minyak untuk Kelantan dan cadangan itu
turut diterima baik oleh pemimpin Pas yang lain.
Berdasarkan kenyataan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,
kerajaan bersetuju menubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang akan
mengkaji secara adil dan telus berhubung isu bayaran tunai daripada
hasil petroleum kepada negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung yang
akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid
Mohamad dan akan dianggotai oleh pakar undang-undang dari dalam dan luar
negara, wakil dari kerajaan negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu yang
diperkenan Sultan negeri-negeri berkenaan.
"Jawatankuasa khas ini akan membuat satu kajian menyeluruh dalam tempoh
masa enam bulan dari tarikh penubuhannya dengan mengambil kira semua
aspek tuntutan dan akan membuat syor yang sesuai kepada kerajaan
persekutuan," kata Najib.
Ahli Majlis Profesor Negara, Prof Dr .Jayum Anak Jawan juga sependapat dengan Azizuddin.
Katanya, pemberian royalti minyak yang lebih komprenhensif kepada
negeri Kelantan bakal menjana ekonomi negeri serta membantu dalam proses
pembangunan.
Katanya, rundingan ini juga akan memberi kesan kepada rakyat Kelantan
untuk lebih terbuka dan menerima parti politik yang lain selain Pas di
negeri itu.
"Rundingan ini patut diteruskan supaya penerimaan royalti minyak di
negeri-negeri pengeluar minyak lebih menerima pulangannya lebih
komprehensif.
"Pulangan atau royalti bakal membangunkan ekonomi di Kelantan lantas
membawa perubahan tanggapan sebahagian rakyat terhadap BN dan mungkin
mereka akan lebih terbuka," katanya.
Prof Datuk Dr Zainal Kling, seorang lagi Ahli Majlis Profesor Negara
berkata, rundingan yang bakal dilakukan oleh Presiden Umno itu adalah
jalan terbaik menyelesaikan masalah perpecahan yang berlaku di kalangan
orang Melayu yang semakin meruncing.
Menurutnya, perundingan antara kedua parti Pas dan Umno bakal membawa
perubahan kepada masyarakat Melayu yang beragama Islam terutama
institusi kesultanan yang menjadi liabiliti kaum Melayu untuk terus
bersatu.
"Kalau betul rundingan itu akan dilakukan, saya yakin perpaduan kaum
Melayu dapat diwujudkan kembali seperti dahulu dimana ada seorang
pemimpin yang mengawal semua orang Melayu.
"Ia juga mendatangkan faedah kepada kedua-dua pihak dari segi kedudukan parti dan sokongan rakyat di Malaysia," katanya.
Zainal berkata perkara ini akan memberi sedikit kesan kepada kedudukan
Umno di Kelantan yang dilihat rakyatnya lebih menyokong Pas.
Pas Kelantan telah mula membuat tuntutan royalti berdasarkan suratcara
1975 Kerajaan Negeri Kelantan dengan Petronas. Bagaimanapun ia tidak
berhasil kerana peruntukan perundangan yang jelas menidakkan hak
Kelantan.
Pemblog Kickdefella, yang pernah bertugas dengan Datuk Husam Musa,
iaitu pengerusi jawatankuasa tuntutan royalti Kelantan, berkata,
walaupun intipati surat Perdana Menter kepada Menteri Besar Kelantan itu
masih belum diketahui dengan jelas, namun begitu berdasarkan
kegembiraan Nik Aziz, penduduk negeri Kelantan keseluruhannya boleh
merasa yakin bahawa kemelut ini akhirnya menampakkan titik penyelesaian.
"Pujian harus diberikan kepada anak-anak muda Kelantan, termasuklah
pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang mesra Pas kerana terus menerus
menghidupkan isu ini walaupun menerusi kaedah yang kurang sesuai.
"Seperti kata Nik Aziz, ‘sedikit sebanyak ini adalah berkat doa rakyat
Kelantan termasuk 40 ulama yang pergi ke Mekah sebelum ini untuk
bermunajat kepada ALLAH agar (isu ini) diselesaikan segera’," katanya
lagi.
Beliau juga berkata, diharap tidak ada pihak yang akan mengecilkan peranan sesiapa sekalipun di dalam soal ini.
Rata-rata pemimpin dan pengikut Pas khususnya dari Kelantan gembira
dengan perkembangan hari ini. Pun begitu, BN khususnya Umno dilihat
mengharapkan kegembiraan yang bersandarkan keputusan PRU13 kelak dengan
pendirian Putrajaya khususnya pentadbiran Najib.
Bila BN akan gembira agaknya?
.
0 Komen pengunjong :