Bukan sekali mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad
membuat kenyataan yang agak mengecutkan Umno-BN berdepan sebarang
kemungkinan perubahan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).
Terkini, bekas Presiden Umno itu dalam blognya dan beberapa portal
lain menyebut kononnya peralihan kuasa kerajaan pusat adalah
sebesar-besar bahaya.
Lebih menghairankan, Mahathir seolah-olah sudah mula meroyan dan
tidak segan menyatakan "Lebih baik syaitan yang anda kenali dari
malaikat yang anda tidak kenal".
Pada penafsiran biasa, rakyat akan melihat bahawa syaitan yang
dimaksudkan Mahathir mungkin sekali adalah BN kerana pada frasa ayatnya
jelas menyatakan bahawa lebih baik memilih syaitan yang anda kenal
daripada malaikat yang anda tidak kenal.
Rakyat tidak merasakan ia suatu yang sangat pelik kerana Mahathir juga pernah menyebut Umno itu busuk hingga ke ususnya.
Begitupun, perkembangan itu membawa kegusaran kepada Umno-BN.
Malah, Mahathir juga kini terdedah 'kulat-kulat' kronismenya yang
diamalkan dizaman beliau yang membelenggu sistem pemerintahan hari ini.
Namun, Mahathir sentiasa bongkak dan hanya menyalahkan penggantinya,
Tun Abdullah Abhmad Badawi kononnya zaman pemerintahan Ahli Parlimen
Kepala Batas itu sebagai pemusnah kepada keyakinan rakyat terhadap BN
khasnya Umno.
Namun bekas Perdana Menteri yang pernah menerajui negara selama 22
tahun itu tidak perasan akan kenyataan beliau itu juga penanda bahawa
beliau akur dan mengakui trend sokongan rakyat tidak mampu dibendung
lagi.
Keresahan Umno-BN melalui 'old-timer' mereka ini menggambarkan
keresahan seluruh koloni Umno-BN yang mana kapal mereka kini semakin
berat dan akan tenggelam bila-bila masa sahaja.
Telahan Mahathir ini ada benarnya kerana melihat kepada usaha rakyat
yang meneruskan fasa kebangkitan tsunami 2008 yang menyaksikan empat
buah negeri BN tumbang pada PRU-12.
Malah, kemaraan rakyat tidak mampu dibendung dengan 'gula-gula'
Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M), bonus kakitangan awam dan segala jenis
bantuan rakyat atau program turun padang babitkan Najib dan kabinetnya.
Ramai yang melihat bahawa keresahan Umno-BN ini bukan kerana bimbang
akan masa depan generasi akan datang, namun mereka resah jika kes-kes
penyelewengan, skandal dan segala jenis kronisme akan dibongkar lagi
selepas mereka hilang kuasa.
Lebih-lebih lagi Mahathir kini terpaksa menelan malu kerana
terdedahnya isu kaitan pembekal minyak kepada MAS yang dikaitkan dengan
syarikat Petron-San Miguel yang sahamnya dimiliki Mirzan Mahathir.
Mahathir juga resah dengan kebangkitan rakyat di Sabah dan Sarawak
dalam beberapa bulan kebelakangan ini setelah beberapa tokoh besar
seperti bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato'
Seri Lajim Ukim dan Ahli Parlimen Tawau, Wilfred Bumburing yang keluar
BN dan menyokong Pakatan Rakyat.
Malah terdahulu, bekas orang kuat PBB di Sarawak suatu ketika dahulu,
Dato' Salleh Jaafarudin telah menyertai PAS dan menyerahkan borang
kepada Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menambah
keresahan Umno.
Umum mengetahui, Sabah dan Sarawak adalah simpanan tetap BN yang
berjaya mengekalkan BN berkuasa terus pada pilihan raya umum yang lalu
meskipun hakikatnya BN tewas di Semenanjung.
Situasi inilah yang menjadikan Mahathir semakin resah dan gelisah
apakah usia tuanya nanti akan tersembam di tirai besi setelah semua
kes-kes yang berlaku dizamannya berkuasa akan didedahkan.
Maka terkeluarkan kenyataan berbaur ugutan dan cubaan menakutkan pengundi datang dari mulut seorang yang bernama Mahathir.
Bak kata Pegarah Propaganda Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Edy
Noor Riduan, mungkin Mahathir terlupabahawa limakerajaan negeri telah
berubah pada Mac 2008 dengan peralihan kuasa kerajaan negeri ini berlaku
dengan aman, tiada kucar-kacir.
Jika ada pun kucar-kacir, ia hanya berlaku pada malam kemenangan
Barisan Rakyat (Kini Pakatan Rakyat) di mana staf kerajaan negeri yang
tiba-tiba bertugas pada malam tersebut bertungkus lumus melupuskan
dokumen 'rahsia' ke dalam mesin 'shredder'.
Tidak cukup dengan itu, dokumen yang telah terkirai itu dibakar pula
bagi menghilangkan 'bukti' dan bagi Edy Noor kejadian seumpama ini
mungkin berlaku pada malam pengiraan undi PRU-13 dengan lebih panik
kucar-kacirnya di Putrajaya sekiranya BN tumbang.
Bak kata Edy Noor, nyata sekali kenyataan Mahathir kononnya bahaya
menukar kerajaan pusat adalah umpama ugutan dari 'ular sawa lumpuh
kekenyangan' yang dihimpit usia dan tidak perlu ditakuti oleh rakyat
yang kian celik membuat perhitungan.
Rakyat sudah semakin celik dan dicelikkan lagi dengan keangkuhan
Umno-BN mempertahan sistem rasuah, penyelewengan dan kronisme yang
berpanjangan.
Tidak salah jika analisis bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Abdul
Kadir Sheikh Fadzir bahawa Umno-BN akan kalah dalam PRU-13 boleh sahaja
menjadi tepat kerana bunga-bunga kejatuhan sudah mula berserakan.
.
0 Komen pengunjong :