KUALA LUMPUR: Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar mendakwa
perdana menteri takut dengan peralihan sokongan di Sabah apabila mahu
melawat negeri itu selepas dua anggota parlimen BN beralih arah kepada
Pakatan Rakyat.
“Beliau takutkah? Saya ingatkan sebelum ini beliau cakap semuanya
baik-baik sahaja dalam BN,” kata Nurul Izzah sinis, merujuk kepada
lawatan Datuk Seri Najib Razak ke Sabah hari ini.
Najib semalam mengumumkan yang lawatannya ke Sabah bertujuan mengukuhkan kedudukan BN di negeri itu.
Lawatan itu berlangsung selepas ahli Parlimen Tuaran Wilfred
Bumburing dan ahli Parlimen Beaufort Lajim Ukin menyatakan sokongan
mereka secara terbuka kepada Pakatan minggu lepas.
Pada masa sama, beliau tidak yakin lawatan Najib ke Sabah akan
membawa sebarang perubahan baik secara langsung kepada penduduk negeri
itu.
“Saya tak rasa dia ada keberanian yang diperlukan untuk melakukan perubahan,” katanya lagi.
Pada masa sama, pengumuman terma rujukan suruhanjaya diraja (RCI)
berkenaan pendatang asing di Sabah yang akan dibuat Najib juga tidak
mengganggu momentum sokongan Pakatan Rakyat di negeri itu, katanya petik
MalaysiaKini.
“Saya harap semua pimpinan dari parti mana sekali pun teruskan agenda perubahan di Sabah.
“Kalau Najib hendak tawar insentif apa-apa sekali pun, kami tidak akan berganjak dengan agenda perubahan kami.
“Kami sendiri pun sudah lama berikrar mahu menubuhkan RCI, dan memberikan royalti sebanyak 20 peratus kepada Sabah,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut menggesa Najib meluaskan terma RCI untuk
menyiasat dakwaan pemberian kewarganegaraan kepada warga asing untuk
memenangkan BN dalam pilihan raya umum.
“Kita tidak mahu RCI fokus kepada Sabah sahaja tetapi juga turut fokus kepada seluruh Malaysia.
“Kita tak mahu kewarganegaraan dijual tanpa rasa tanggungjawab,” katanya.
.
0 Komen pengunjong :