SHAH ALAM, 18 Ogos: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata institusi
demokrasi yang kuat seperti badan kehakiman dan agensi penguatkuasa yang
bebas akan memastikan Pakatan Rakyat tidak bertukar menjadi ‘satu lagi
Umno’.
Ini kerana Pakatan telah berjanji di dalam Buku Jingga bahawa
institusi-institusi tersebut akan dibebaskan daripada campurtangan
politik apabila perikatan itu berjaya memerintah negara.
Dipetik
Selangorku, Anwar memberi jaminan tersebut ketika
menjawab satu soalan yang dikemukan di dalam program ‘Borak Bersama
Anwar’ yang disiarkan secara langsung melalui portal video web ‘You
Tube’.
Soalan yang dikemukakan oleh seorang yang dikenali sebagai
“Gunanaiker” melahirkan kebimbangan sekiranya KEADILAN menjadi ‘satu
lagi Umno’ selepas menakluki Putrajaya.
“Gunanaiker” berkata kerisauan itu berdasarkan kehadiran ramai bekas pemimpin Umno-BN di dalam KEADILAN.
“Tanpa mengira sama ada mereka pernah menyertai mana-mana NGO, Umno,
MCA atau atau MIC, mereka yang sertai KEADILAN perlu terima budaya
politi baru bagi menjayakan agenda reformasi dan menyokong polisi
Pakatan Rakyat,” kata Anwar.
KEADILAN merupakan sebuah parti berbilang kaum dan mempunyai ahli
dari pelbagai latar belakang termasuk bekas anggota Umno, MCA, MIC dan
lain-lain pertubuhan bukan kerajaan.
Anwar berkata peranan institusi tersebut dipesongkan pada masa kini
di bawah Umno-BN sehingga tindakan undang-undang tidak dapat diambil
terhadap sesetengah pihak.
“Sekiranya badan-badan ini dibebaskan dari cengkaman politik kita tak
perlu bimbang, kerana sesiapa sahaja boleh dikenakan tindakan.
“Kita tidak boleh mengambil sikap selektif dalam mengambil tindakan
seperti yang berlaku terhadap Rafizi Ramli yang mendedahkan
penyelewengan, tetapi membiarkan ‘perompak’ begitu sahaja,” kata Anwar
lagi.
Sebelum ini Rafizi, yang merupakan Pengarah Strategik KEADILAN,
didakwa di bawah satu akta kewangan setelah beliau mendedahkan
dokumen-dokumen bank berhubung dengan projek kontroversi Pusat Fidlot
Kebangsaan.
Pada masa yang sama, Anwar melahirkan keyakinan yang intergriti institusi polis di negara ini dapat diperbaiki.
Seperti institusi yang lain, kepercayaan rakyat terhadap polis hanya
dapat dikembalikan sekiranya ia bebas dari pengaruh politik.
Anwar merujuk kepada kes bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor
yang melakukan keganasan terhadap beliau di dalam tahanan polis pada
tahun 1998, sebagai contoh bagaimana polis digunakan oleh pentadbiran
sekarang.
“Menteri patut fokus untuk baiki imej polis dan bagaimana hendak mengurangkan jenayah, bukanya campuri tugas polis,” kata Anwar.
Program Interaktif yang dikendalikan oleh Sharifah Shahidah Syed
Kamarulzaman dan disiarkan selama sejam itu merupakan satu-satunya
program ‘Google Hangout’ yang melibatkan ahli politik Asia Tenggara.
Antara pemimpin dunia lain yang pernah ditampilkan dalam program sama adalah Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama.
Dalam program tersebut, selain menjawab soalan dari laman sosial,
beliau turut menjawab soalan-soalan dari enam panelis terpilih dari
pelbagai latar belakang
.
0 Komen pengunjong :