Kenyataan
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa perhimpunan BERSIH 3.0
cuba menggulingkan kerajaan adalah "longgar" dan tidak berasas kepada
fakta, kata bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Bukit Aman
Datuk Fauzi Shaari.
"Daripada perkembangan yang berlaku, saya
boleh katakan kenyataan itu, kenyataan yang longgar, kenyataan yang
sangat longgar, tidak berasas kepada fakta yang nyata.
"Mungkin (dibuat) berdasarkan kepada maklumat-maklumat yang tidak sahih," katanya.
Justeru, kata Fauzi (
kiri) lagi, kenyataan yang dibuat semata-mata andaian sahaja.
Fauzi mengulas kenyataan Najib yang dilapor mendakwa perhimpunan yang berlangsung April lalu oleh gabungan itu adalah cubaan
menggulingkan kerajaan seperti yang dilakukan oleh rakyat Mesir di Dataran Tahrir.
Ketika diwawancara
Malaysiakini,
Fauzi berkata, alasan yang biasa digunakan sebelum penggubalan Akta
Perhimpunan Aman 2012, antaranya "mengganggu atau menggugat ketenteraman
awam" tidak lagi sesuai digunakan.
Katanya, alasan itu walaupun
berdasarkan laporan risikan, mungkin tidak kuat kerana suasana kini
menunjukkan rakyat matang dan sudah terbuka.
"Jadi
yang itu (guling kerajaan), bagi saya kalau nak lebih adil, kalau kita
dengar sedikit sebanyak (pandangan BERSIH)," katanya yang pernah
bertugas sebagai ketua polis daerah Dang Wangi - antara balai paling
banyak berdepan penganjuran demonstrasi.
'Kerajaan berkorbanlah'
Fauzi
juga berkata, sekiranya polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)
membenarkan penganjur memasuki Dataran Merdeka lebih awal, kemungkinan
"huru-hara" tidak akan berlaku.
"Bagi saya, asasnya kalau kita
beri kebebasan bersuara, hak berkumpul kerana hendak menyuburkan
demokrasi. Bagi saya tidak sepatutnya ada halangan, malah kita (anggota
polis) kawal... Saya rasa kalau itu sikap keterbukaan yang diambil, saya
yakin suasana itu baik.
"Kalau
kita ada satu kesefahaman, dengan kita menghormati satu sama lain,
kenapa kita tidak boleh beri satu peluang (kepada BERSIH)? Mereka datang
secara aman. Kita korbanlah. Kerajaan, Kementerian Dalam Negeri, dan
polis berkorban, maknanya beri laluanlah," katanya.
Fauzi berkata
semua pihak perlu mencari kata sepakat bagi mengelakkan berlakunya
huru-hara dan perlu menganggap perhimpunan itu sebagai perkara yang
dibenarkan oleh perlembagaan.
Ditanya sama ada polis mempunyai
Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi mengawal peserta perhimpunan
seperti BERSIH, Fauzi menjawab:
"Arahan
(SOP) itu bergantung kepada pendekatan situasi. Maknanya mengikut
kesesuaian tempat dan keadaan. Kalau kita tidak boleh betul-betul (kawal
dan) keadaannya begini, (maka) buat begini, (dan) buat begini, secara
umumnya," katanya.
Bagaimanapun, katanya, SOP bukan persoalan
dalam perhimpunan 100,000 peserta itu, tetapi soal perbezaan pandangan
antara pihak berkuasa dan penganjur yang "bermati-matian" dipertahankan.
Enggan beredar dikira ingkar
Ditanya
sama ada tindakan polis mengasari peserta dan wartawan dalam
perhimpunan itu termasuk dalam lingkungan SOP, Fauzi menegaskan tindakan
itu menyalahi aturan.
"Kalau
sampai (seperti) kamu kata pukul, itu salah dari segi aturan kita. Kita
tidak boleh hukum (mereka). (Pukul) itu semacam satu hukuman," katanya.
Beliau
juga menjelaskan, menurut SOP, tangkapan boleh dilakukan sekiranya
peserta masih enggan beredar walaupun selepas disuraikan kerana ia
dikira "ingkar perintah".
Ditanya sama ada suasana akan berubah
sekiranya beliau dipertanggungjawabkan menangani perhimpunan itu, Fauzi
bagaimanapun sukar untuk menjawabnya.
"Boleh jadi perkara yang
sama (berlaku) sebab mungkin pada masa itu fikiran saya pun, kita
sepakat. Kerana kita kerja sepasukan. Kita tak boleh (bertindak)
bersendirian.
"Bila kita dah buat satu keputusan, walaupun (pandangan) peribadi kita berbeza-beza, tapi kita (harus) sekata," jelasnya lagi.
.
0 Komen pengunjong :