KUALA LUMPUR 10 Ogos: Kerajaan Barisan Nasional (BN) didapati terlalu
fobia dengan warna kuning sejak ia membanjiri seluruh pelusuk Kuala
Lumpur (KL) pada Himpunan Bersih 28 April lalu.
Ketakutan
itu sangat menyerlah apabila Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Ismail
Omar melarang pemakaian baju kuning di himpunan Janji Bersih pada
sambutan ambang merdeka pada 30 Ogos nanti.
Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham
Shaharin meminta agar polis tidak perlu terlalu fobia dengan warna
kuning kerana mahkamah telahpun mengisytiharkan Gabungan Pilihan Raya
Bersih dan Adil (Bersih) sah mengikut undang-undang.
“Mahkamah dah putuskan yang tindakan Kementerian Dalam Negeri
mengharamkan baju kuning dan Bersih adalah salah, jadi tak perlulah
polis dan kerajaan takut sangat dengan warna itu,” kata Badrul yang
lebih dikenali sebagai Chegu Bard.
Beliau turut menempelak Ismail kerana mendakwa, NGO yang terlibat
dalam penganjuran Janji Bersih itu mempolitikkan sambutan kemerdekaan.
“Perkara ini patut ditujukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib
Razak yang dari awal telah mempolitikkan Hari Kebangsaan dengan memilih
tema ‘Janji Ditepati’ yang jelas merupakan slogan BN dan menjadikannya
sebagai kempen parti mereka,” katanya ketika dihubungi.
Mengulas lanjut, Chegu Bard berkata, ‘Janji Bersih’ bukanlah program
yang diatur untuk menggantikan sambutan ‘countdown’ pada malam itu.
“Kita tak buat program lain, malah kita menjemput semua rakyat datang
sama-sama meraikan kemerdekaan, mengira detik dalam semangat supaya
kerajaan menunaikan 8 tuntutan Bersih,” jelasnya.
“Perlu diingatkan, menuntut pilihan raya yang adil dan bersih
bukanlah politik kepartian, tetapi ia untuk kebaikan negara bagi
mengangkat martabat demokrasi di Malaysia,” kata beliau lagi.
Semalam, sidang media diadakan bagi memberitahu tujuan program itu
yang diketuai Sasterawan Negara yang juga Pengerusi Bersama Bersih 2.0,
Datuk A Samad Said di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur Selangor.
26 NGO termasuk SAMM, Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan
(Anak), Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Suara Rakyat Malaysia
(Suaram) turut menyokong penuh acara yang akan bermula pada jam 10 malam
itu.
“Justeru, saya bagi pihak SAMM tetap mengajak seluruh rakyat hadir
pada malam itu, sama-sama bergembira meraikan kemerdekaan bersama
semangat mahu 8 tuntutan ditunaikan,” kata Chegu Bard lagi.
.
0 Komen pengunjong :