KUALA
LUMPUR — Ahli Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen (PSC)
berkenaan penambahbaikan pilihan raya Pakatan Rakyat hari ini menegaskan
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak perlu meminda Akta Pilihan Raya
bagi membolehkan rakyat Malaysia di luar negara untuk mengundi secara
pos.
Anthony Loke, wakil daripada DAP sebaliknya menegaskan, SPR hanya
perlu meminda Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih)
2002, dan Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003 dengan
menambahkan kategori dalam peraturan sedia ada untuk membolehkan rakyat
Malaysia di luar negara untuk mengundi ketika pilihan raya.
“SPR sudah mempunyai kuasa. Mereka tidak perlu meminda Akta Pilihan
Raya, sebaliknya mereka perlu meminda peraturan-peraturan untuk
pendaftar pemilih dan pengundian pos.
“SPR hanya perlu memasukkan kategori ke dalam peraturan tersebut
untuk membolehkan mereka mengundi,” katanya ketika sidang media di Ibu
Pejabat DAP hari ini.
Jelas ahli Parlimen Rasah ini lagi, masa yang diambil untuk meminda
akta berkenaan adalah terlalu lama dan hanya boleh dilaksanakan ketika
sidang Parlimen akan datang pada September depan.
“Setiap pindaan akan ambil masa sekurang-kurangnya 6 bulan.
Persidangan Parlimen akan datang pula memberikan tumpuan terhadap
Belanjawan, kita hanya ada empat hari untuk meminda akta, mungkin tidak
sempat.
“SPR boleh melakukannya dengan hanya meminda peraturan, seperti mana yang dilakukan untuk dakwat kekal,” tambah Loke lagi.
Loke turut menegaskan, SPR hanya perlu memberikan tafsiran terhadap pengundi pos dan ia sudah memadai.
“SPR membazir masa jika mahu meminda akta. Peruntukan sudah ada, SPR
hanya perlu memberikan tafsiran jelas terhadap pengundi pos dan
mekanismenya sahaja.”
Semalam, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata,
pihaknya sedang mengkaji keperluan untuk meminda undang-undang pilihan
raya bagi membolehkan semua rakyat Malaysia mengundi secara pos dalam
sesi Dewan Rakyat, September ini.
Namun begitu, beliau turut meletakkan syarat, rakyat Malaysia yang
mahu menikmati kemudahan ini mesti berada dalam negara
sekurang-kurangnya sekali dalam masa lima tahun beserta bukti dalam
tempoh itu sebelum Dewan Rakyat dibubarkan.
Mengulas berkenaan perkara itu, wakil jawatankuasa PSC dari PAS, Dr
Hatta Ramli menegaskan, SPR seharusnya tidak meletakkan sebarang syarat
dalam perkara itu.
“SPR menjelaskan jika mereka (pengundi luar negara) tidak pulang ke
Malaysia dalam masa lima tahun, mereka ini tidak akan mengetahui segala
maklumat politik dalam negara ini.
“Sekarang kita sudah dikuasai oleh media sosial, dan saya tidak
merasakan ia akan menjadi masalah. Maklumat mereka kadangkala melebihi
maklumat rakyat Malaysia di negara ini,” katanya yang juga merupakan
ahli Parlimen Kuala Krai.
.
Polis tahan kambing gemar kejar orang
2 days ago
0 Komen pengunjong :