KUALA LUMPUR 16 Julai: Ribuan hadirin yang memenuhi Stadium Kuala
Selangor bagi menyertai Himpunan Hijau semalam, membuktikan sokongan
Melayu terhadap Pakatan Rakyat (Pakatan) terus meningkat.
Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua berkata, Umno BN gagal
menakut-nakutkan rakyat kononnya orang Melayu akan hilang kuasa jika
Pakatan memenangi lebih banyak kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum
akan datang.
Ahli Parlimen Batu itu juga optimis, jika momentum tersebut berterusan, peluang Pakatan untuk menawan Putrajaya semakin cerah.
“Umno sering mendakwa kononnya orang Melayu akan hilang kuasa jika
Pakatan memerintah. Himpunan ini adalah mobilasi untuk memberi
penerangan kepada rakyat mengenai perjuangan Pakatan,” katanya dihubungi
Keadilan Daily.
Himpunan Hijau di peringkat Selangor ini berbeza dengan himpunan di
negeri lain kerana bukan hanya disertai pemimpin PAS malah turut
disertai pemimpin KEADILAN dan DAP.
Selain Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, turut serta, Presiden
KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Setiausaha Kebangsaan
DAP, Teresa Kok.
Veteran Umno, Tan Sri Kadir Sheikh Fadzil juga menyertai himpunan tersebut.
Ketika berucap, Wan Azizah turut meniupkan semangat reformasi kepada hadirin pada majlis penuh bersejarah untuk PAS Selangor.
Dalam pada itu, Tian menjamin orang Melayu akan kekal berkuasa dan terus menikmati segala hak di bawah pemerintahan Pakatan.
“Bukan itu sahaja, hak semua kaum tetap dijamin seperti termaktub
dalam Perlembagaan. Malah, kita akan lakukan lebih baik daripada Umno
BN,” katanya.
.
0 Komen pengunjong :