MP Tanah Merah ditawar RM20 juta keluar KEADILAN


SHAH ALAM 12 Julai: Ahli Parlimen (MP) Tanah Merah, Amran Ab Ghani mendedahkan, beliau ditawar RM20 juta supaya meninggalkan KEADILAN.
Ia merupakan jumlah paling tinggi selepas episod pendedahan tawaran membeli Ahli Parlimen Pakatan Rakyat didedahkan di Parlimen baru-baru ini.
“Satu perjumpaan diaturkan orang tertentu untuk membeli Ahli Parlimen daripada KEADILAN. Tawaran bermula daripada RM10 juta. Akhirnya pihak itu mematikan harga dengan RM20 juta seorang.
“Perkara ini terjadi apabila pakej berlaku, iaitu kelapan-lapan Ahli Parlimen ini melompat. Kalau seorang tarik diri, perkara ini tidak jadi,” kata Amran pada sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini hari ini.
Menurut Amran, tawaran itu dibuat semasa peralihan kuasa pada era Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Berkongsi pengalaman sama, MP Kelana Jaya, Gwo Burne Loh dan MP Ketereh, Ab Aziz Kadir turut mengesahkan mereka juga menerima tawaran keluar parti seperti yang didedahkan MP Indera Mahkota, Azan Ismail sebelum ini.
Amran berkata, selain dipujuk, beliau dan keluarganya ditekan pelbagai ugutan.
“Saya ditekan dari sudut orang muda iaitu jika saya tidak dicalonkan lagi, pencen hanya bermula umur 50 an.
“Dia mengandaikan parti ini (KEADILAN) hanya menggunakan saya, kerana pada PRU13, saya tidak akan dicalonkan semula,” ujarnya.

10 juta disuruh ke Indonesia, 10 juta lagi dapat gudang
Bagaimanapun katanya, tawaran RM10 juta itu membuah hasil apabila kumpulan lapan Ahli Parlimen itu ada yang lompat selepas berlaku perbincangan.
“Dalam perbincangan itu, diberikan penjelasan berkenaan tawaran RM10 juta bahawa mereka akan diberikan gudang di sekitar KL dan dijadikan seperti pencen.
“Manakala RM10 juta lagi supaya bawa isteri tinggal di Indonesia dua atau tiga tahun. Maknanya jika balik kampung selepas itu, orang kampung tidak marah,” jelas Amran.
“Tawaran ketika itu menarik kerana tidak perlu lompat masuk BN tapi keluar dan duduk atas status Bebas dan sokong kerajaan, itu gambarannya,” kata Amran.
Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang turut hadir dalam sidang media itu dengan sinis meminta media mengesahkan perkara tersebut dengan MP yang sudah lompat parti.
“Ini transformasi Najib, jadikan manusia tukar jadi katak, kalau boleh tuan-tuan hubungi Bandar Baharu, Wangsa Maju, Bayan Baru, Bagan Serai, tanya mereka yang melalui transformasi berdasarkan cerita mereka ini,” ujarnya.
.

0 Komen pengunjong :