Fitnah II bukti Umno BN lemahkan sistem kehakiman


KUALA LUMPUR 4 Julai: Pendedahan Hakim Datuk Zabidin Mohd Diah mengenai wujudnya niat memalsukan bukti dalam kes Fitnah II melibatkan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah bukti Umno BN cuba melemahkan sistem kehakiman.
Naib Presiden KEADILAN, N Surendran berkata, Zabidin ketika membacakan penghakiman bertulis semalam menyatakan, beg sampel penting telah dibuka oleh pegawai penyiasat walaupun tiada keperluan berbuat demikian.
“Polis telah menyalahguna bukti dengan memberi arahan kepada pegawai penyiasat untuk memalsukan sampel,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam penghakiman itu, Zabidin berkata, mahkamah tidak boleh menerima bukti DNA kerana tidak menyokong bukti yang dinyatakan pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan mengenai kejadian sodomi tersebut.
Zabidin berkata, mahkamah meragui integriti sampel yang diambil dari Saiful untuk analisis oleh Pakar DNA Jabatan Kimia, Dr Seah Lay Hong.
Mengulas lanjut, Surendran berkata, kaedah memalsukan bukti pada kes Fitnah II sama seperti pemalsuan keterangan dalam perbicaraan Fitnah I pada 1998.
Menurut beliau, perkara itu diakui bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Mat Zain Ibrahim yang mengatakan sampel darah Anwar diambil dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 15 Oktober 1998 untuk pemalsuan DNA.
“Ini jejak penipuan dibawa kembali kepada Umno dan pemimpin-pemimpin BN. Penganiayaan tidak dapat dilakukan tanpa restu Datuk Seri Najib Razak dan pemimpin Umno lain,” katanya.
Justeru, Surendran mendesak Perdana Menteri hentikan pura-pura kononnya tidak mempunyai kaitan terhadap tuduhan berkenaan.
Katanya, Najib dan Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail mesti menggugurkan pendakwaan sementara menunggu rayuan terhadap pembebasan Anwar.
Penyiasatan secara menyeluruh dan saksama juga perlu dilakukan terhadap pemalsuan keterangan seperti yang didedahkan oleh Mat Zain, kata Surendran lagi.
.

0 Komen pengunjong :