SHAH ALAM 22 JUN :Keputusan mesyuarat agung tahunan (AGM) Koperasi
Permodalan Felda (KPF) Malaysia Berhad tidak meneruskan pelantikan Tan
Sri Mohd Isa Abdul Samad sebagai anggota lembaga pengarahnya adalah
keputusan yang baik demi masa hadapan Felda.
“Ia satu keputusan yang menggembirakan dan kita berkeyakinan dengan
perkembangan mutakhir ini yang tidak memihak kepada mereka yang hendak
menyenaraikan Felda Global Ventures Holdings(FGVH), saya cukup optimis
walaupun 28 Jun ini akan dimuktamadkan untuk penyenaraian FGVH ia akan
menemui kegagalan,” kata Mazlan Aliman.
Mazlan yang merupakan Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda
Kebangsaan (ANAK) berkata Isa Samad tidak layak menjadi ahli KPF kerana
beliau bukan kakitangan tetap Felda.
Beliau berkata, adalah wajar KPF ini diuruskan oleh kalangan
professional yang berkelayakan dan bukan daripada orang-orang politik
yang mempunyai agenda sendiri.
“Bila ada campurtangan politik berlaku ia akan menyebabkan proses
transformasi dasar-dasar KPF yang digariskan oleh Lembaga Pengarah sedia
ada akan terencat yang akan menyebabkan nanti dasar-dasar ini nanti
tidak dapat dilaksanakan,” katanya.
Jelas Mazlan, peningkatan dividen kepada 18 peratus pada tahun ini
yang diberikan kepada pemegang-pemegang saham adalah kejayaan yang perlu
dikekalkan tanpa campurtangan orang-orang politik yang dibimbangi boleh
menjejaskan pencapaian cemerlang KPF kini.
“Dengan kepimpinan KPF sedia ada, saya percaya mereka mampu
melonjakkan prestasi KPF sebagai peneraju koperasi terbaik di Malaysia,”
ujarnya.
Di bawah Undang-undang Kecil fasal 36(1) dan 36(2), Lembaga Felda
dikehendaki melantik tiga orang calon dari kalangan ahli koperasi untuk
menganggotai Lembaga KPF.
“Sebab sekarang ini Isa Samad tidak boleh menguasai KPF adalah kerana
beliau dan Lembaga Pengarah KPF sedia ada tidak senada dan sehaluan.
“Kalau Isa Samad dinobatkan sebagai pengerusi KPF, ia akan membawa
KPF kepada penyenaraian,kerana itu adalah perancangan beliau,” ujar
Mazlan.
Sebelum ini, keahlian Isa dibekukan sementara Mahkamah Tinggi Kuala
Lumpur selepas Hakim Abang Iskandar Abang Hashim mendapati terdapat
merit untuk membenarkan empat peneroka Felda mencabar keahlian Isa dalam
KPF.
Pembekuan keahlian Isa sekaligus menghalang beliau daripada dicalonkan sebagai Anggota Lembaga KPF.
Sekiranya berjaya menganggotai Lembaga KPF, Isa dijangka akan menjadi
pengerusi KPF baru menggantikan pengerusi sekarang, Datuk Dzulkifli
Abdul Wahab.
Global Felda Ventures Holdings (FGVH) dimiliki 100 peratus oleh
Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang mana 49 peratus
pegangannya dimiliki oleh Felda Holdings.
Manakala, KPF yang dianggotai oleh kira-kira 112,627 peneroka dan
23,000 pekerja Felda pula memiliki pegangan sebanyak 51 peratus di dalam
Felda Holdings.
.
0 Komen pengunjong :