SHAH ALAM:
DAP meminta semua rakyat terutamanya penyokong parti-parti di dalam
Pakatan Rakyat agar tidak terikut dengan persepsi Umno Barisan Nasional
(BN) berhubung isu hudud.
"Walaupun isu hudud seringkali
ditimbulkan oleh Umno-BN kita sebagai rakyat dan juga parti di dalam
Pakatan Rakyat jangan terikut dengan persepsi mereka tentang hudud.
"Umno-BN sering sahaja menggunakan isu ini untuk memecah belah
perpaduan yang dibina dalam Pakatan Rakyat," kata Setiausaha Agung DAP,
Lim Guan Eng.
Tambahnya, persefahaman dan perpaduan yang telah
dipersetujui dalam Pakatan Rakyat perlu dipegang bersama agar matlamat
untuk menjatuhkan Umno-BN dapat dicapai.
"Persepsi palsu akan
terus dimainkan oleh mereka jika kita terikut dengan rentak mereka itu
hanyalah akan menguntungkan mereka (BN) sahaja.
"Pihak lawan
akan terus berusaha untuk memecah belahkan Pakatan Rakyat, perpaduan
yang telah dibentuk ini perlu diperkemaskan sekuat-kuatnya,"
sambungnya.
Lim Guan Eng turut menyatakan Umno BN cuba
menakut-nakutkan bukan Islam dengan PAS dan hudud dengan berharap bukan
Islam akan menolak PAS.
"Seperti mana Umno-BN menakutkan orang
bukan Islam tentang PAS dan hudud begitu jugalah orang Melayu bila
mereka mengatakan DAP anti Islam.
"Namun sepanjang sejarah
negara ini kita tidak pernah mendengar bahawa PAS mahupun DAP telah
membunuh orang bukan Melayu ataupun orang Melayu tetapi peristiwa
Memali membuktikan siapa yang perlu kita takuti," sambungnya lagi.
Katanya lagi, persepsi yang dibawa oleh Umno-BN itu perlu diketepikan
sepenuhnya dalam usaha Pakatan mencari pentadbiran terbaru yang akan
membanteras kemungkaran sepenuhnya.
"Kita mahu rakyat hidup
dengan bermaruah tanpa ada perasaan takut, kita juga mesti saling
hormat menghormati antara satu sama lain.
"DAP tidak pernah
mengancam Islam malah kami menghormati Perlembagaan Persekutuan yang
menjelaskan Islam itu agama rasmi," kata Ketua Menteri Pulau Pinang itu
lagi.
Lim Guan Eng bertindak sebagai panelis bersama pensyarah
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malek pada
program wacana 'Benarkan Dasar DAP Mengancam Islam'.
Wan Saiful Wan Jan, Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS bertindak sebagai moderator.
.
0 Komen pengunjong :