Masih
ada lagi yang bertanya, mengapa PAS tidak boleh bersama UMNO sedangkan
boleh pula bersama DAP dan PKR? Saya rasa saya sudah jawab ini
berkali-kali tetapi biarlah buat kali terakhirnya saya jawab sekali
lagi.
Jawapan saya berbentuk cerita dan ceritanya begini:-
Ada
seorang, ia itu Melayu-A, menjemput seorang yang lain, ia itu Melayu-B
ke kelab malam untuk minum beer. Pada masa yang sama ada pula seorang
bukan Melayu yang menjemput Melayu-B ke kedai mamak untuk minum teh
tarik. Maka Melayu-B memilih untuk bersama yang bukan Melayu untuk ke
kedai mamak.
Tiba-tiba Melayu-A tadi marah dan terus berkata,
“Hoi Melayu, tidak sedar dirikah? Awak tu Melayu, aku Melayu, awak
Islam, aku Islam, sepatutnya awak bersama aku, bukan dengan yang bukan
Islam!” Melayu-B pun terkejut dengan bantahannya dan terus menjawab,
“Tapi kamu ajak saya untuk ke kelab malam untuk minum beer!” Dengan
bersahaja Melayu-A menjawab, “Tidak mengapa, saya minum beer, awak
minumlah air Cola!”
Persoalanya, adakah wajar tindakan
sedemikian? Walaupun tidak minum beer bersama, sebagai seorang Islam
Melayu-A tidak boleh meminum beer dan jika Melayu-B berada bersama
walaupun ditangannya hanya memegang segelas Cola, ia tetap bersubahat
dengan kejahatan tersebut.
[Gambar - Presiden PAS Tuan Guru
dato' Seri Abdul Hadi Awang bersama timbalan Presiden haji Mohamad sabu
dan Setiausaha Agong, Dato' Mustafa Ali ketika sidang media mengumumkan
tidak ada muzakarah dengan Umno sebaliknya perbincangan dengan NGO
Islam, di pejabat PAS Jalan Raja Laut Isnin 21 Mei]
Pengajaran
dari cerita yang ringkas ini ialah, yang penting bukan buat sesuatu
‘dengan siapa’, tetapi ‘buat apa’. Kalau buat jahat, walaupun dengan
ustadz, ianya tetap jahat dan akan tetap berdosa. Kalau buat baik,
walaupun dengan orang bukan Islam, ianya tetap kerja baik dan orang
Islam tersebut tetap mendapat pahala!
UMNO ingin meneruskan
budaya politik rasuah, fitnah, lucah, menyeleweng, menindas dan
perkaumannya. Kalau PAS turut bersama mereka, maka akan turut terpalit
dengan budaya yang jijik itu. Pemuda-pemuda PAS akan diminta mengedarkan
video lucah yang kononnya melibatkan DSAI. PAS juga akan diminta
membela segala penyelewengan seperti kes NFC dan juga menghalalkan
pembantaian rakyat oleh pihak polis pada 28 April lalu.
Sedangkan
apabila PAS bertanya kepada PKR dan DAP mengenai apa yang mereka ingin
usahakan, mereka menjawab “sebuah kerajaan yang bebas rasuah, adil,
berkebajikan terhadap rakyatnya dan bebas perkauman”. Pada masa yang
sama, institusi keagamaan akan dibebaskan dari kongkongan UMNO yang
ingin membantutkan Islam sehingga menjadi agama yang sempit dan tidak
berwibawa.
Apabila dibandingkan kedua-dua pilihan dan diletakkan
di hadapan PAS, maka adalah amat jelas bahawa pilihan PR adalah yang
lebih baik. Ingat! Yang penting bukan soal ‘buat dengan siapa’ tetapi
yang penting adalah ‘buat apa’?
Ini selari dengan kata-kata
masyhur Saidina Ali (KW), “undzur ilaa maa qala wa laa tandzur ilaa man
qala” atau “lihat pada apa yang dikatakan dan jangan kamu lihat pada
siapa yang mengatakannya". Dalam erti kata lain, sokonglah kebenaran
walau siapa sekalipun yang memperjuangkannya.
WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD
0 Komen pengunjong :