Memilih pemimpin negara adalah amanah besar dalam Islam, yang disebut
Ulil Amri. Al-Quran mengesahkan semua rasul menentang sekeras-kerasnya
ajaran yang memartabatkan pemimpin kerajaan sehingga dianggap Maha Suci
daripada segala kesalahan. Di zaman keemasan umat Islam menjadi kuasa
besar dunia, setiap Uli al-Amri yang dinamakan Khalifah diharamkan
bersikap Maha Suci seperti Tuhan Yang Maha Esa (Allah S.W.T).
Rasulullah
S.A.W bersabda: "Ketaatan terhadap pemimpin hanya dalam perkara yang
baik". Ucapan ini adalah menafsirkan perintah Allah yang dihayati di
masa baginda sendiri menjadi ketua negara dan wajib diikuti oleh
umatnya.
Ucapan Abu Bakar R.A apabila dipilih menjadi ketua
negara selepas wafatnya Rasulullah S.A.W: "Wahai tuan-tuan! Saya telah
dipilih menjadi pemimpin kamu, padahal saya bukannya orang yang terbaik
di kalangan kamu. Sekiranya saya dalam keadaan yang baik tolonglah
saya, sekiranya saya dalam keadaan yang buruk perbetulkan saya. Benar
adalah amanah, bohong adalah khianat......". Beginilah juga ucapan
setiap pemimpin yang dilantik selepasnya.
Amalan sistem
pemerintahan Islam yang dibukukan dan dicatit oleh para ulama Islam
daripada semua mazhab menjadi kajian para orentalis. Kitab-kitab
seperti Muqaddimah Ibn Khaldun, Ahkam Sultaniyyah, Adab al-Wazir dan
lain-lain diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa Eropah mempengaruhi
perkembangan Demokrasi Moden yang diamalkan oleh negara Barat. Walaupun
mereka menerima dengan fahaman sekularisme yang dianut, memisahkan
politik daripada agama, namun pengaruh inilah yang mewujudkan sistem
pilihanraya yang adil dengan memberi hak kepada rakyat menjadi hakim
terhadap kerajaan dan para pemimpin kerajaan yang boleh dijatuhkan
sekiranya berlaku kesilapan atau kelemahan dalam mentadbir negara,
rakyat pula diberi hak dalam urusan pemerintahan secara beradab. Sistem
yang adil ini menggantikan revolusi rakyat secara berdarah yang banyak
berlaku seperti di England, Perancis dan lain-lain. Akhirnya
terciptalah demokrasi moden dengan mewujudkan pilihanraya yang adil.
Bagi
mewujudkan penghakiman yang adil oleh rakyat melalui pilihan raya, maka
rakyat diberi kefahaman yang benar berkenaan pilihanraya. Mereka
benar-benar memahami hak mereka dengan larangan tegas secara
undang-undang terhadap ugutan, sogokan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Pihak media diletakkan sebagai saksi yang melaporkan semua pihak kepada
rakyat yang menjadi hakim, samada pihak kerajaan yang dituduh atau
pihak pembangkang yang menuduh. Pihak Suruhanjaya Pilihanraya adalah
badan yang bebas bagi mengendalikan urusan pilihanraya mengikut sistem
pemisahan kuasa di antara badan kehakiman, perundangan dan pentadbiran
yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W ketika menegakkan negara contoh di
Madinah.
Sistem ini diterima oleh semua parti Islam di seluruh
dunia termasuk PAS, yang ditubuhkan daripada gerakan tajdid dan islah
kerana demokrasi moden menjadi medan politik paling sesuai dengan Islam
yang mengutamakan secara damai. Keseluruhan negara Barat dan termasuk
negara komunis sekarang telah berubah, menerima sistem demokrasi
pilihanraya yang adil, sehingga tidak ada parti dan pemimpin kerajaan
boleh mendabik dada bahawa mereka Maha Suci daripada segala sifat
kekurangan dan tidak ada kesilapan langsung.
Sistem demokrasi
moden ini menjadikan parti kerajaan dan pemimpinnya sentiasa berwaspada
dan sedia ditolak dan dihukum oleh rakyat, maka berlakulah perlumbaan
yang sihat bagi melakukan yang baik dan menolak yang munkar, menjadikan
riadah yang menjadikan hak rakyat dan kerajaan sentiasa sihat, kerana
silih berganti apabila berlaku setiap kelemahan dan para pemimpin sangat
berhati-hati menunaikan amanah.
Di Amerika pernah dibatalkan
kemenangan seorang presiden dalam peristiwa yang terkenal dengan nama
skandal Water Gate. Di England pula menjatuhkan kerajaan kerana skandal
salah seorang menteri kabinetnya dengan pelacur yang berkait dengan
perisikan negara asing. Di India membatalkan kemenangan seorang perdana
menteri kerana menyalahgunakan jentera kerajaan dan banyak lagi. Di
zaman kini banyak negara yang dibelenggu dengah sistem dictatorship
terpaksa berubah kepada sistem demokrasi pilihanraya yang adil.
Negara
kita Malaysia yang tercinta ini mengalami sistem demokrasi menuju ke
arah yang lebih buruk dan memalukan. Surahanjaya Pilihanraya yang tidak
bermaya untuk melakukan reformasi demokrasi yang sebenar kerana tidak
diberi kuasa yang sebenar mengikut takrif demokrasi dan tidak berlaku
pemisahan kuasa yang sebenar. Kedudukannya berada di bawah siapa parti
yang memerintah mengikut arahan secara nyata dan sulit bagi mengekalkan
sistem satu parti seperti negara komunis, secara agenda yang diatur
begitu rupa. Media arus perdana sebelah pihak yang menutup minda rakyat
mengetahui segala kelemahan kerajaan, seolah-olah menjadikan kerajaan
itu Maha Suci sepanjang hayat seolah-olah tidak ada ajal dan tidak ada
hari kiamat. Daftar pengundi yang tidak masuk akal, seperti jumlah isi
rumah laksana sebuah kampung dan penduduk kampung yang ramai laksana
satu daerah kerana terlalu gelojoh mangambil pengundi bagi menjamin
kemenangan parti yang sedang memerintah walaupun sudah banyak senarai
penyelewengan sehingga dilupai yang telah berlaku sebelumnya tanpa
tindakan yag adil. Politik wang yang membarah ke dalam parti kerajaan
dan masuk pula ke dalam rakyat, ke lapangan pilihanraya umum.
Semua
yang berlaku adalah kemunkaran yang mencalarkan imej Islam yang menjadi
agama negara mengikut perlembagaan dan banyak kemunkaran yang wajib
dicegah dan kezaliman yang wajib disanggah.
PAS wajib
menyampaikan risalah Islam kepada seluruh manusia dengan memberi
kefahaman yang betul kepada penganut Islam dan memperkenalkan Islam
kepada bukan Islam, bagi mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran
kerana Rasulullah S.A.W mewajibkan kepada setiap orang Islam
menyampaikan mesej sebenar, menyatakan yang benar dan mencegah
kemungkaran mengikut kemampuan masing-masing dengan tangan, lidah dan
perasaan benci dalam hati. Demonstrasi aman yang menjadi salah satu
daripada amalan demokrasi moden adalah salah satu cara menunjukkan
kebencian dalam hati.
Rasulullah S.A.W mengizinkan para
sahabatnya keluar beramai-ramai daripada persembunyian mereka di Makkah
selepas Islamnya Hamzah dan Umar R.A bagi menunjukkan sikap mereka
terhadap pamimpin Makkah yang zalim secara terbuka dan aman tanpa
senjata.
Ketika berada di Madinah dan telah wujud negara yang
berkuasa, tiba-tiba Rasulullah S.A.W bersabda kepada para sahabatnya,
menyebut peristiwa lama berlaku sebelum dilantik menjadi Rasul: "Aku
pernah dibawa oleh bapa-bapa saudaraku ke rumah Abdullah bin Judaan bagi
mengadakan Halaf Fudul (persefahaman dan kerjasama) bagi membela mereka
yang dizalimi dan menentang mereka yang zalim secara bersama.
Sekiranya perkara ini dibawa kepadaku sekarang nescaya aku
menyertainya."
Rasulullah menerima secara positif segala sifat
yang baik secara fitrah yang ada dalam diri manusia termasuk bukan
Islam, sehingga menghargai keluarga Hatim al-Toei seorang pemimpin
kabilah yang suka menolong dan meraikan tamu di zaman jahiliyyah dan
banyak lagi contoh yang lain.
BERSIH
adalah gabungan kerjasama NGO berbagai agama dan parti-parti politik
pelbagai ideologi yang menganjurkan demonstrasi aman bagi membantah
pilihanraya yang mengotorkan amalan Demokrasi di Malaysia, ramai
kalangan mereka tidak terlibat secara langsung dalam pilihanraya, tetapi
sifat fitrah manusia yang bencikan zalim, tipu dan lain-lain.
PAS
berpendapat bahawa BN telah banyak menyeleweng daripada konsep
demokrasi yang adil. UMNO sendiri telah lama merosakkan imej Islam.
Ajaran Islam meletakkan politik adalah amanah besar yang diamalkan para
Rasul seluruhnya, tiba-tiba dikotori dengan banyak perkara yang
memalukan, seperti menyalahgunakan kuasa secara penipuan dan zalim
bukannya bertahan dengan akhlak yang mulia. Amanah politik dijadikan
peluang mengumpul harta dan menaikkan pangkat, bukannya amanah yang
wajib ditunaikan. Harta dan kuasa dijadikan senjata mengugut rakyat,
laksana dajjal yang zahir di akhir zaman, menawarkan kesenangan untuk
pengikutnya sahaja, sesiapa yang tidak mengikutnya menerima padah.
Akhirnya
PAS wajib mencegah kemungkaran besar yang sedang berlaku ini, hujah
lebih kuat lagi apabila membaca amanat Rasulullah S.A.W: "Sama ada kamu
menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran atau berdiam diri,
nescaya orang-orang yang jahat memerintah kamu, lalu orang-orang yang
baik berdoa, tiba-tiba doanya tidak diperkenankan oleh Allah". Sabdanya
lagi: "Menyatakan yang benar kepada kerajaan yang zalim adalah jihad
paling afdal ."
PAS tidak membenarkan para ulamanya menjadi
syaitan bisu yang berdiam diri terhadap kebenaran di hadapan mata yang
wajib ditegakkan dan kemungkaran nyata yang wajib ditegah, PAS tidak
mengizinkan para ulamanya menjadi burung kakak tua yang bercakap hanya
mengikut apa yang diajar oleh tuannya sahaja dan tidak mampu menilai
sendiri.
Adapun alasan berlakunya kekacauan selepas itu, adalah
disebabkan salah laku kerajaan terhadap perhimpunan aman, seperti
melarang berhimpun di padang dataran merdeka yang menjadi tempat
berhimpun dan provokasi pihak yang diadakan sendiri atau diizin oleh
kerajaan sendiri. Sikap tidak adil melantik kumpulan penyiasat yang
ditunjukkan oleh satu pihak kerajaan sahaja adalah cara yang tidak
bermoral untuk menegakkan keadilan yang sebenar. Lebih tidak adil lagi
apabila adanya tangkapan selepas bersurai dan menyeksa mereka yang
ditangkap, dimaki hamun dan sebagainya. Ini bukan cara yang bijak untuk
mempertahankan kerajaan, bahkan cara menggali lubang sendiri untuk
jatuh dengan cara memalukan. Bukan sahaja menjadi sunnah alam dan nas
al-Quran dan hadith, serta doa mereka yang dizalimi pasti diperkenan
Allah walaupun daripada seorang yang bukan Islam.
Akhirnya, kalau bangsa Melayu masih bersama UMNO yang tidak menegakkan Islam yang sebenar, berlakulah amaran Allah:
وَإِنْ تَتَوَلَّوْا يَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ ثُمَّ لَا يَكُونُوا أَمْثَالَكُمْ ( 38
Maksudnya:
Sekiranya kamu berpaling (tidak mahu menegakkan agama kamu) nescaya
Allah menukarkan kaum lain, kemudian mereka tidaklah seperti kamu.
(Surah Muhammad: 38)
*Abdul Hadi Awang ialah Presiden PAS
.
0 Komen pengunjong :