Mahfuz tak kata bekas Peguam Cara sertai PAS

KUALA LUMPUR : Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mengulangi penjelasan bahawa beliau tidak pernah menyatakan bekas Peguam Cara Negara II Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden akan menyertai PAS.


"Saya sama sekali tidak pernah membuat kenyataan itu dan saya tidak tahu serta tidak faham bagaimana ke situ pula laporannya," kata beliau.


Mahfuz menjelaskan bahawa beliau hanya menyatakan kehadiran Mohd Yusof sebagai peguam pembela Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes Bersih 3.0 adalah sesuatu yang pelik memandangkan sebelum ini beliau berada di pihak pendakwaan dalam kes Anwar dituduh meliwat.


"Itu benda pelik, saya kata. Dan saya juga membangkitkan kemungkinan ada banyak perkara yang tidak kena dalam institusi perundangan kerajaan Umno.


"Saya juga melihat perkara itu sebagai kemenangan moral kepada Anwar dan penghinaan yang sangat menyakitkan kepada Peguam Negara (Tan Sri Abdul Gani Patail) dan kerajaan Umno, walaupun sudah tentulah mereka tidak akan mengaku dan mereka-reka pelbagai cerita dongeng untuk menyelamatkan air muka mereka," kata beliau.


Mahfuz berkata, beliau terpaksa membuat lagi penjelasan tersebut kerana banyak panggilan telefon dan pesanan ringkas yang diterimanya berikutan salah lapor itu.


Bagi beliau, tidak masuk akal Mohd Yusof yang baru sahaja hendak menjadi peguam pembela Anwar tiba-tiba dikaitkan akan menjadi ahli PAS.


"Orang tidak buat keputusan masuk PAS macam Perdana Menteri buat keputusan fasal Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), setelah lancarkan tanpa persetujuan kakitangan kerajaan lepas itu tarik balik setelah ternyata buat keputusan tanpa guna akal," katanya.


Mohd Yusof yang pernah mengendalikan pendakwaan ke atas kes liwat Anwar mengejutkan pelbagai pihak apabila hadir ke mahkamah sebagai salah seorang peguam bela Ketua Pembangkang itu dalam kes Bersih 3.0.


Sejurus selepas Timbalan Pendakwa Raya Abdul Wahab Mohamed memperkenalkan dirinya kepada Hakim Mahkamah Sesyen Mahmud Abdullah, kedengaran sorakan dan tepukan daripada penyokong Anwar.


Ditanya sama ada terdapat konflik kepentingan untuknya mewakili Anwar yang pernah didakwanya sebelum ini, beliau berkata: "Saya tidak menyertai sebuah parti politik. Saya hanya seorang peguam bela. Saya tidak mempunyai hubungan politik. Saya seorang yang profesional."


Mengulas lanjut mengenai salah lapor itu, Mahfuz mengakui beliau ada memberitahu pemberita bahawa terdapat beberapa perisytiharan dalam majlis himpunan besar-besaran pada 1 Jun ini di Alor Setar.


"Bagaimanapun, saya tidak sebut siapa memandangkan ada yang hendak membuat perisytiharan di kampung halaman masing-masing," katanya.

0 Komen pengunjong :