DPMM Selar Astro Tapis Berita BERSIH 3.0


SHAH ALAM : Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merasa simpati terhadap media antarabangsa seperti British Broadcasting Company (BBC) dan Al Jazeera kerana liputan berita milik mereka semasa perhimpunan BERSIH 3.0 telah ditapis oleh Astro tanpa persetujuan mereka.
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS,Riduan Mohd Nor berkata alasan Astro bahawa mereka mematuhi garis panduan penyiaran kebangsaanî adalah alasan remeh dan sukar untuk diterima.
“Ini kerana dengan penapisan yang dibuat oleh Astro akan menyebabkan hilangnya babak penting yang menceritakan peristiwa sebenar dalam perhimpunan tersebut. Ia pula akan menjadikan liputan ini sangat tidak adil, berat sebelah,” kata Riduan dalam kenyataan media.
Riduan berkata, DPPM merasa kecewa kerana Astro tidak merujuk dahulu media antarabangsa liputan yang mereka tapis dan paparkan kepada masyarakat.
Ini menggambarkan betapa teruknya nilai demokrasi di negara ini sehingga media disekat sedemikian rupa hatta terhadap media antarabangsa.
Beliau juga kesal kerana media di Malaysia masih terkongkong oleh pengaruh politik pemerintahan BN sedangkan media antarabangsa telah jauh mendahului dalam memberikan liputan yang adil dan bebas.
“Rakyat merasa malu jika media di Malaysia akan dibandingkan dengan media di bawah pemerintahan negara-negara rejim kuku besi.
“Bagi rakyat Malaysia pula, perkara ini tidak mengejutkan kerana ia sudah menjadi lumrah sejak dahulu lagi di mana media tidak pernah bebas dan adil dalam memberikan laporannya,” katanya.
Ujar Riduan lagi, media utama memainkan peranan penting menghentam parti politik atau pemimpin serta sesiapa sahaja yang tidak sehaluan dengan Umno-BN.
“Tidak perlu pemimpin Pakatan Rakyat keluar negara bagi menceritakan bagaimana teruknya mereka dilayan oleh media tempatan,
“Cukup hanya melihat bagaimana tapisan terhadap pemberitaan yang dibuat oleh media antarabangsa dalam peristiwa penting yang berlaku di negara ini,” tegas beliau.
.

1 comment :