Utamakan kroni punca mahasiswa turun ke jalan raya


KUALA LUMPUR: Hanya kerajaan zalim enggan menerima pandangan dan tuntutan mahasiswa termasuk memansuh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan pendidikan percuma hingga memaksa mereka turun ke jalan raya.
“Mahasiswa terpaksa turun ke jalan raya bagi menyuarakan tuntutan ekoran keengganan Datuk Seri Najib Razak menerima pandangan mereka,” kata Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.
Ahli Parlimen Batu, Tian Chua pula mendesak Perdana Menteri menyediakan dana untuk pendidikan percuma berikutan anak muda adalah pelapis masa depan.
“Kalau untuk kroni, pentadbiran Umno BN sanggup berhabis berbilion ringgit sedangkan nikmatnya hanya dirasai segelintir individu berkepentingan.
“Tiada alasan untuk tidak memberi dana khas untuk pendidikan percuma,” katanya.
Kedua-dua Naib Presiden KEADILAN itu berkata demikian apabila diminta berucap pada perhimpunan menuntut pemansuhan PTPTN dan pendidikan percuma.
Kira-kira 1,000 mahasiswa pelbagai institusi pengajian tinggi berhimpun dan berarak dari masjid jamek Kuala Lumnpur ke pusat beli-belah Sogo mulai jam 2 petang.
Mereka membawa kain rentang dan poster kecaman terhadap kerajaan Persekutuan dan desakan mengenai tuntutan pendidikan percuma.
Perhimpunan diketuai aktivis, Adam Adli Abdul Halim dan pemimpin Solidariti Mahasiswa Malaysia, selain disertai beberapa badan bukan kerajaan (NGO).
Mereka melaung slogan antaranya ‘Student Power’, ‘Mansuh PTPTN’, ‘Jahanam Umno-BN, ‘Reformasi’ dan ‘Mahasiswa bukan robot’.
Pada perhimpunan itu, beberapa mahasiwa mengkalungkan gambar Najib Razak dan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dengan bunga yang membawa simbol ‘mati’.
Selepas selesai perarakan yang berlangsung tertib dan aman, sebahagian mereka kemudian berkhemah berhampiran Dataran Merdeka mulai jam 4.30 petang sehingga acara Bersih 3.0.

0 Komen pengunjong :