Seluruh negara berhimpun bantah Lynas


SHAH ALAM, 15 April: Himpunan Anti  Lynas anjuran Solidariti SeMalaysia Himpunan Hijau bersama badan bukan kerajaan (NGO) di Dataran Shah Alam  petang kelmarin diadakan secara aman tanpa diganggu polis.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad  merangkap AJK PAS Pusat mendakwa  syarikat yang menjalankan projek tersebut diberi hak istimewa dan kedudukan luar biasa sehingga tidak perlu membayar cukai selama 12 tahun walaupun menerima keuntungan berbilion ringgit.

Beliau berkata,   "saya bersama saf pimpinan Pakatan Rakyat (PR) menyelar tindakan kerajaan pusat  (UMNO) yang seolah-olah lepas tangan terhadap keselamatan rakyat walaupun sudah sedia maklum.

Katanya, mereka sudahpun bentangkan isu ini   di Dewan Rakyat, projek Lynas bernilai jutaan ringgit itu akan menghasilkan sisa radioaktif.

“Kerajaan tidak akan menutup kilang ini sekiranya Pakatan Rakyat gagal membuktikan kilang itu tidak selamat. Nak buktikan macam mana lagi? Nak tunggu sehingga  semua rakyat mati baru terbukti ke?," tempelak beliau.

Sepatutnya, kata beliau, kalau terbukti ia selamat, baru dibuka, bukan sebaliknya.

Ada satu penjelasan yang boleh memberi penerangan kenapa kerajaan bertindak sedemikian rupa  kerana  pihak-pihak tertentu telahpun menerima duit dan sogokan, ujarnya.

“Pada pandangan saya, mereka telah diberikan duit atau dijanjikan duit berterusan sehingga kerajaan tidak sanggup untuk menukar keputusan yang dibuat,” selar Khalid.

Sementara itu, Dr Rani Osman, Pesuruhjaya PAS Selangor pula berkata, "kita kecam kerajaan pusat sekiranya mereka ingin meneruskan projek Lynas yang sudah pasti memberi ancaman seluruh rakyat Malaysia.

"Sekiranya mereka teruskan niat itu, kita daripada Pakatan Rakyat bersama badan-badan  bukan NGO tidak teragak-agak mengadakan bantahan besar-besaran seluruh negara.

"Janganlah mereka hanya mengaut keuntungan sebelah pihak sahaja tetapi memberi kesan  buruk kepada semua rakyat," katanya.

Dalam pada itu beliau juga mempertikaikan Slogan UMNO "Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan".

Katanya, slogan yang UMNO sering laungkan  tidak menggambarkan mesra rakyat langsung.

Turut serta dalam himpunan itu adalah Ketua Penerangan PAS Selangor, Saari Sungib dan Pengerusi Solidariti Hijau SeMalaysia, Zulkefly Mohamad Omar.

Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), S.Arutchelvan, Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Mohamad Safwan Anang dan wakil ABU, Haris Ibrahim.

Difahamkan, himpuna  anti Lynas   diadakan serentak petang semalam, di 10 lokasi lain seperti di Pahang (Masjid Al-Fatah, Batu 3, Kuantan), Perak (Tapak kilang ARE Bukit Merah, Menglembu), Sarawak (Masjid At Takwa, Miri) dan Kelantan (Dataran Ilmu, Kota Bharu).

Lokasi lain yang turut terbabit adalah Negeri Sembilan (Taman Tasik Seremban), Kedah (Dataran Jam Besar, Sungai Petani), Johor (Masjid Daerah Batu Pahat), Melaka (Masjid Al Azim), Terengganu (Masjid Pengadang Baru, Kuala Terengganu), Pulau Pinang (Masjid Permatang Janggus, Permatang Pauh).

Kilang bernilai RM700 juta di Gebeng, Kuantan diusahakan oleh Lynas Malaysia Sdn Bhd, anak syarikat Lynas Corporation dari Australia.

Ia menimbulkan kontroversi kerana didakwa akan menghasilkan sisa radioaktif yang boleh memudaratkan kesihatan orang ramai.

0 Komen pengunjong :