PRU: Najib dicadang Hadiah Nobel jika adakan PRU bersIh

PRU: Najib dicadang Hadiah Nobel jika....KUALA LUMPUR,- Jika Barisan Nasional (BN) menang pilihan raya dengan cara yang adil dan bersih, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan dicadangkan sebagai pemenang Hadiah Nobel, kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.
"Dengan pelbagai perkembangan yang berlaku seperti daftar pemilih yang enggan dibersihkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pertambahan pengundi baru yang luar biasa jumlahnya seperti yang berlaku di Subang contohnya, apa yang didakwa sebagai pembetulan sempadan pilihan raya, kehilangan nama dalam daftar pemilih dan pelbagai kerja kotor lain, tidak ada harapan untuk menyaksikan pilihan raya yang adil dan bersih di negara ini selagi diperintah oleh Umno," kata beliau.
Sebab itulah, katanya, beliau sanggup mengambil daya usaha untuk menemui pelbagai pihak yang berkenaan di mana-mana sahaja untuk memastikan nama Najib dicalonkan sebagai pemenang Hadiah Nobel kerana mempromosikan demokrasi jika pilihan raya negara ini dijalankan dengan adil dan bersih.
"Saya sanggup mencari dana sendiri untuk berusaha menemui pelbagai pihak yang berkaitan di mana sahaja bagi membolehkan mereka mencalon dan melobi untuk memastikan Najib mendapat Hadiah Nobel bagi demokrasi kalau pilihan raya negara ini berjalan dengan adil dan bersih," katanya.
Bagaimanapun, Mohamad yakin kerajaan Umno pimpinan Najib akan "terkencing di dalam seluar" jika pilihan raya negara ini dijalankan dengan bersih dan adil.
"Dengan 51 peratus pengundi menolak Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum yang lalu, tidak mungkin sama sekali Najib dan Umno serta BN yang diketuainya mahukan pilihan raya yang adil dan bersih.
"Jika dijalankan pilihan raya yang adil dan bersih, ramai pengkaji politik negara ini merasa yakin BN akan kalah dan sebab itulah parti yang diketuai Najib itu tidak mahu pilihan raya yang adil dan bersih," katanya.
Umno dan BN, katanya, tidak mampu dan tidak boleh kalah.
"Jika Umno dan BN kalah, ia tidak akan menang lagi kerana tidak boleh lagi memperalatkan jentera kerajaan seperti SPR, polis dan sebagainya yang selama ini dipergunakan untuk memastikan kemenangannya.
"Malah, jentera pilihan raya mereka juga akan lumpuh sama sekali kerana duit rasuah pun tidak mungkin dapat diperolehi lagi kerana sudah tidak ada kuasa," katanya.
Kerajaan Najib terbukti begitu konsisten menolak tuntutan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) bagi memastikan pilihan raya yang adil dan bersih di negara ini.
Bersih sebelum ini mengemukakan lapan tuntutan ke arah memperbaiki perjalanan dan pengendalian pilihan raya negara ini.
Antara lapan tuntutan tersebut ialah supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membersihkan daftar pengundi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, masa kempen minima 21 hari, akses media yang bebas dan adil, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

0 Komen pengunjong :