Idris Ahmad: Umno Masih ‘Gila Talak’

SHAH ALAM, 18 APR : Tindakan  pemimpin Umno yang sengaja menimbulkan semula isu perpaduan antara PAS dan Umno untuk meraih undi rakyat menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) digambarkan sebagai ‘gila talak’.
Kenyataan itu disuarakan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Idris Ahmad ketika dihubungi TVSelangor hari ini.
Sambil menyifatkan tindakan Umno seperti  ‘hidung tak mancung pipi tersorong-sorong’, Idris menegaskan pendirian PAS bahawa parti itu tidak sesekali akan berkompromi dengan Umno.
“Takkan kita hendak berpadu dengan parti yang hampir tenggelam? Umno itu diibaratkan seperti kapal bocor, malah barang-barang mereka juga tamat tempoh.
Mereka cuba nak lelong kepada PAS, tetapi kita tidak mahu. Kita sudah ada barang baru,” sindir Idris.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan  hari ini mengambil peluang untuk menimbulkan semula isu perpaduan antara PAS dan Umno dalam pertemuan dengan sekumpulan imam dan bilal dari Terengganu.
Dalam kempennya kepada pemimpin masjid berkenaan, Ahmad antara lainnya mendakwa perpaduan itu ditolak kerana majoriti pemimpin PAS didakwa bukan daripada kalangan ulama.
Sementara itu, ketika mengulas mengenai usaha Umno Terengganu yang giat memperluaskan kempen wacana “PAS: Parti Ajaran Sesat” ke negeri kuat PAS seperti Kedah dan Kelantan, Idris dengan tegas mempersoalkan tindakan tersebut.
Katanya, Umno tidak layak untuk mengeluarkan kenyataan sedemikian, apatah lagi ia  seolah-olah menggambarkan parti itu semakin terdesak untuk meraih undi rakyat terutama di kawasan kampung.
“Mereka (Umno) ini alignment tak betul, mereka tiada fokus. Umno dah caci maki kita (PAS) sekarang nak ajak kita bersatu. Munasabah ke perkara tu?
Khir Toyo, Najib dan Muhyiddin sendiri mengatakan sokongan kepada Umno datangnya daripada rakyat berusia 50 tahun ke atas. Umno ini lemas dan terdesak,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa Umno supaya segera menghentikan segala provokasi yang sengaja ditimbulkan untuk menjatuhkan imej Pakatan Rakyat (PR).

0 Komen pengunjong :