Hadi: Isu hina raja helah 'kubur' isu penting

Hadi: Isu hina raja helah 'kubur' isu penting

ALOR SETAR - Pas menyifatkan dakwaan kononnya pemimpin pembangkang menghina Raja-raja Melayu sebagai helah menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) bagi menenggelamkan isu yang lebih penting yang dibangkitkan pemimpin Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, isu terbabit sengaja ditimbulkan di saat PRU13 semakin hampir bagi menutup isu sebenar.

“Saya anggap itu berita PRU13. Isu ini sengaja dibangkitkan untuk menutup isu sebenar yang kita bangkitkan, antaranya pendedahan kewujudan 'task force' memberi kerakyatan kepada warga asing dan penipuan dalam proses mengundi,” katanya selepas mengadakan perjumpaan dengan Badan Perhubungan Pas Negeri Kedah, di Kompleks Pas Kedah di sini sempena lawatan kerja sehari ke Kedah, semalam.

Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, pendedahan beliau berhubung wujudnya pasukan khas yang bertanggungjawab memberi kerakyatan kepada warga asing di negara ini adalah isu yang lebih penting untuk diberi perhatian berbanding isu remeh yang dibangkitkan kononnya pemimpin pembangkang mempersenda Raja-Raja Melayu.

“Yang menjadi ancaman lebih besar kepada institusi diraja dan kedaulatan negara adalah kes babitkan warga asing, bukannya isu remeh seperti itu. Kes berkenaan yang sebenarnya akan menghakis institusi Raja-Raja Melayu dalam tempoh tertentu,” katanya.

Menurutnya, sekiranya berlarutan, tidak mustahil ia turut mengancam keselamatan negara.

“Warga asing ini berada di luar budaya perlembagan diraja, negara mereka tidak amalkan sistem beraja. Apabila mereka diberi kerakyatan dan mengundi, kesannya amat besar termasuk boleh menjejaskan kedaulatan institusi diraja,” katanya.

Baru-baru ini, seorang pengamal perubatan, Dr Rahman Kadir dalam blognya mendedahkan beberapa pemimpin pembangkang didakwa bersikap biadap dengan mempersenda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu pada Majlis Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong, Rabu lalu.

Mahfuz berkata, gerakan Anti Pemalsuan IC (API) dibentuk untuk merangka tindakan bersesuaian bagi membolehkan dakwaan itu disiasat.

“Langkah pertama ialah menghantar memorandum tuntutan memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja untuk tubuhkan Suruhanjaya Diraja menyiasat pendedahan itu,” katanya.

Mahfuz yang juga Pengerusi API berkata, semua maklumat yang diperolehnya hanya akan diserahkan kepada suruhanjaya terbabit bagi menjamin keselamatan sumber maklumat.

“Buat masa ini saya tidak dapat dedahkan maklumat. Saya berani katakan, gerakan pasukan khas itu beroperasi dari Pejabat Perdana Menteri,” katanya.
        
Menurutnya, berdasarkan laporan interim Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) bersetuju dengan cadangan penubuhan suruhanjaya itu untuk menyiasat pemberian kerakyatan warga asing di Sabah.

“Secara tidak langsung, PSC mengakui perkara seperti itu berlaku di Sabah, tetapi saya cadangkan untuk semua negeri kerana difahamkan gerakan itu menyeluruh di setiap negeri,” katanya.

Mahfuz sebelum ini mendedahkan wujudnya pasukan khas ini, diketuai Penasihat Khas Perdana Menteri, Datuk Osman Razak; Setiausaha Majlis Keselamatan Negara, Datuk Tajuddin Wahab dan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar.

0 Komen pengunjong :