Datuk
Bandar Kuala Lumpur berasal dari Kedah Darul Aman. Beliau barangkali
sampai ke Kuala Lumpur saat melanjutkan pelajarannya di Universiti
Malaya, waktu mengaji Sejarah di sana.
Dari Kedah, beliau lanjut sampai ke Denver, di Amerika sana untuk
mempelajari perhubungan awam di peringkat sarjana. Secara spesifik,
beliau memilih pengajian strategik antarabangsa. Ini dapat kita korek
dari laman web DBKL.
Sayangnya, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail, meski lulusan sarjana
perhubungan awam pengajian strategik antarabangsa dan berasal dari
Kedah, gagal mempamerkan kemahiran perhubungan awamnya saat bersoal
jawab dengan para wartawan.
Muka UMNO-nya jelas terpamer. Redup, tidak bercahaya dan pastikan
tertekan. Garis-garis halus pada dahinya menjadi bukti betapa
tertekannya beliau.
Barangkali kerana kali pertama diamanahkan untuk bergelut dengan para
aktivis Bersih, di samping anak mahasiswa yang duduk berkampung hanya
selempar batu dari tangga pejabatnya. Kita ucap tahniah berbakul kepada
beliau di atas keberanian memikul amanah dari pemimpin tertinggi
kerajaan itu.
Apabila pemimpin tidak dipilih oleh rakyat
Jadi begini; si Datuk Bandar ini kiranya ketualah di Kuala Lumpur
ini. Kita tidak jelas sebenarnya pilihan raya mana yang dia menang
sehingga boleh jadi ketua di Kuala Lumpur.
Kita juga tidak tahu demokrasi jenis apa yang dipakai sehingga insan
ini menjadi pemimpin agung ibu kota Malaysia ini. Kali terakhir kita
mengundi, semua kecuali satu daripada kawasan-kawasan parlimen Kuala
Lumpur dimenangi oleh Pakatan Rakyat.
Seandainya Datuk Bandar Kuala Lumpur ini dipilih melalui pilihan raya
yang demokratik oleh keseluruhan warga Kuala Lumpur berjumlah hampir
1.6 juta, maka pastilah Datuk Bandar akan lebih bertanggungjawab dalam
memberi respon dan jawapan kepada pihak media berbanding mengambil sikap
tidak peduli seperti yang kelihatan dalam tutur katanya.
Masalahnya ialah Datuk Bandar Kuala Lumpur tidak bertanggungjawab
kepada penduduk Kuala Lumpur, tetapi hanya berjawab kepada memanda
menteri Raja Nong Chik sebagai Menteri Wilayah dan juga kepada susur
galur pemerintah UMNO yang merajalela di Kuala Lumpur.
Disebabkan tidak dipilih melalui sistem demokrasi, tetapi dipilih
oleh Putrajaya sebagai pesuruh, maka ia tidak punya rasa belas ehsan
terhadap manusia dan masyarakat.
Apabila dia rasa orang datang bertandang di taman larangannya, maka
boleh dihalau-halau sesuka hati. Seperti seorang pesakit OCD (Obsessive
Compulsive Disorder) yang pantang harta bendanya diusik, dan aturannya
diganggu, demikianlah sikap yang diperlihat Datuk Bandar Kuala Lumpur
yang lantikannya itu turun dari langit Putrajaya dan bukan dari hasil
undi masyarakat terbanyak.
Datuk Bandar ugut, ancam rakyat
Bercakap kepada pemberita, Tan Sri Ahmad Fuad telah mengugut untuk
menghalang demonstran dengan kekerasan, jika perlu, daripada masuk ke
kawasan Dataran Merdeka untuk acara duduk bantah Bersih 3.0 Sabtu ini.
(Macam budak kecil di tadika, kawal barang mainannya daripada diusik
kawan-kawan lain – “Jangan pegang tau… Ni kami punyaaa…”)
Bukan sahaja itu, Datuk Bandar tambah menyebut bahawa kalau terjadi
apa-apa kekecohan, salahkan Bersih. Nada ini sama sahaja dengan nada
Menteri Pengajian Tinggi yang amat disukai ramai, Datuk Khaled Nordin
apabila berkicau tentang kejadian serangan ganas puluhan samseng ke atas
anak mahasiswa yang berkhemah di Dataran Merdeka tempoh hari. “Jangan
tagih simpati,” kata Khaled Nordin. Yang si Datuk Bandar pula tidak mahu
dipersalahkan kalau terjadi apa-apa, seolah-olah membayangkan memang
ada sesuatu yang akan terjadi.
Rata-rata rakyat jelata yang pernah ke acara Bersih yang pertama,
kedua dan hujung minggu ini yang ketiga jelas faham dan tahu betul
bahawa tidak akan ada kekecohan yang berlaku sekiranya tunjuk rasa
mereka itu tidak diganggu oleh agen-agen provokasi yang diatur oleh
pihak-pihak yang sakit punggung dengan pergerakan menuntut pilihanraya
yang adil ini.
Sama kesnya dengan kejadian sepak terajang anak mahasiswa
tengah-tengah malam. Mereka sekadar duduk di sana, tidak mengganggu
sesiapa. Yang buat kacau adalah samseng yang ada kaitan dengan parti
pemerintah.
Makhluk mana yang panas bontot dan mula menghantar laskar upahannya
untuk bikin kecoh? Sikap Datuk Bandar yang beriya menantikan wujud
kekecohan ini harus kita ragui.
Adakah metod yang sama seperti yang telah dilakukan kepada peserta
OccupyDataran akan dijalankan terhadap mereka yang akan turun pada hari
Sabtu nanti? Adakah setelah dihantar mereka itu untuk bikin kecoh, pihak
yang menyuruh akan menyanyikan lagu ‘Kan aku dah cakap’ seperti
kebiasaannya.
Jadi, elok kan kalau Datuk Bandar dipilih oleh rakyat…
Politik ketakutan dan politik kekerasan barangkali sudah tertulis
dalam trait genetik para orang UMNO dan penyokongnya. Datuk Bandar yang
dilihat ramai sebagai pesuruh UMNO juga barangkali tidak terkecuali.
Dari pejabatnya di menara tinggi menghadap Dataran Merdeka itu,
mungkin ada perancangan-perancangan nakal untuk membuktikan ketokohan
dan kepimpinannya sebagai Datuk Bandar yang berkaliber dan disegani,
berbanding Menteri Dalam Negeri yang jelas tidak lagi melawan bahkan
membiarkan perhimpunan itu berjalan.
Warga Kuala Lumpur seharusnya diberikan hak untuk memilih Datuk
Bandar, seperti yang ditegaskan oleh Setiausaha Hal-Ehwal Antarabangsa
DAP Liew Chin Tong.
Baginya, apabila tidak ada Datuk Bandar yang responsif terhadap
warganya, maka habis kesemua Ahli Parlimen kawasan-kawasan Kuala Lumpur
akhirnya menjadi
super-councillors, menyelesaikan masalah parit
longkang dan jalan berlubang warga kota tanpa sebarang kuasa seperti
kerajaan negeri untuk memajukan ‘negeri’ Kuala Lumpur.
Jika dilihat hari ini, Datuk Bandar buat apa? Pasang pagar di Dataran
Merdeka? Ugut rakyat? Cuba jadi lebih UMNO dari UMNO? Duduk Bantah
Kuala Lumpur lah.
–/ Roketkini.com
0 Komen pengunjong :