Kontrak RM600 juta punca krisis PAS Kedah


Krisis PAS Kedah meledak selepas Menteri Besar Datuk Seri Azizan Razak didakwa mahu memberikan sebuah projek yang dikatakan bernilai RM600 juta kepada syarikat yang dikaitkan dengan pemimpin Umno.

Perkara itu disahkan oleh Datuk Phahrolrazi Mohd Nawawi, seorang daripada dua exco yang menolak pelantikan semula mereka ke jawatan itu sebelum ini.

Ketika ditemui Malaysiakini semalam bagi mengesahkan dakwaan beliau pada mulanya menolak pelantikan semula kerana tidak puas hati dengan desakan Azizan, Phahrolrazi mengakuinya.

Sumber sebelum ini memberitahu Malaysiakini, projek yang dipertikaikan itu adalah berkenaan pembinaan jalan di negeri itu yang mahu diberikan oleh menteri besar kepada syarikat milik bekas pemimpin Umno bahagian di Kedah.

Phahrolrazi bagaimanapun tidak mendedahkan lebih lanjut berhubung perkara itu tetapi memberitahu ia projek usahasama dengan syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC).

ADUN Pengkalan Kundor itu juga mendakwa, projek berkenaan bernilai "beberapa juta ringgit".

"Saya tak setuju dengannya," dakwanya sambil berkata keputusan berkaitan biasanya dibuat pada mesyuarat exco.

Projek itu bagaimanapun kini belum dianugerahkan kepada mana-mana pihak, kata Phahrolrazi lagi ketika ditemui selepas sidang media di rumahnya di Alor Setar semalam.

Pada sesi itu, beliau dan seorang lagi exco Datuk Ismail Salleh mengumumkan menerima pelantikan sebagai exco selepas PAS membentuk jawatankuasa pemandu untuk menasihati pentadbiran negeri.

Ketika laporan ini ditulis, Malaysiakini masih belum dapat mendapatkan respons daripada pejabat menteri besar.

Seorang pembantu Azizan memberitahu, menteri besar itu mahu berehat dan tidak akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat.

2 comments :

  1. Buat pemimpin PR.....
    Janganlah terlalu berpolitik sehingga lupa tanggungjawab anda sebagai pemimpin. Ya memang anda menang atas tiket Parti masing2 tetapi anda adalah pemimpin bagi seluruh rakyat. Menteri besar untuk semua rakyat bukan untuk ahli parti anda semata-mata. Ubahlah pemikiran anda dan jadilah khalifah yang adil dan jujur tanpa mengira parti, bangsa dan agama rakyat kamu....Rakyat mampu menjulang kamu dan begitulah sebalik............

    ReplyDelete
  2. Tak jadi masalah kalau kontrak dibuat secara tender terbuka. Namun kalau secara anugerah... ditambah pula ada kena mengena UMNO, kecenderungan untuk duit yang disalurkan akan digunakan secara sepenuhnya untuk pembinaan jalan raya secara sepatutnya adalah diragui. Kita tak mahu jika jalan raya yang sepatutnya bernilai RM600 juta di atas kertas, hanya bernilai RM200 juta. Sesungguhnya UMNO cenderung untuk tidak beramanah.

    ReplyDelete