Tiada Masalah Sekiranya Menteri Besar Pegang Portfolio Agama


SHAH ALAM, 25 JAN : Sesiapa sahaja layak menyandang portfolio Hal Ehwal Agama Islam asalkan mereka mempunyai keupayaan dan kesungguhan dalam menyebarkan syiar Islam kepada masyarakat.
Demikian reaksi bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Hashim Yahya ketika dihubungi TV Selangor di sini hari ini.
Kenyataan itu disuarakan Hashim ketika mengulas mengenai tindakan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mengambil alih portfolio Hal Ehwal Islam yang dulu disandang Dr Hasan Ali.
Beliau berpendapat, parti mana yang dapat portfolio tersebut bukan persoalan yang penting.
Sebaliknya, yang menjadi keutamaan adalah individu yang menggalas tugas tersebut mestilah mempunyai keupayaan dan kesungguhan dalam menjalankan program Islam.
"Kita tidak mengambil kira sama ada seseorang itu adalah ahli PAS atau PKR, tetapi yang penting adalah program agama di Selangor ini berjalan dengan lebih lancar.
"Kita tidak mahu apabila portfolio itu berpindah ke parti lain, maka ajaran Islam itu bertambah tidak bermaya atau lembab.
"Program Islam itu mestilah disebarkan secara berterusan dan ditingkatkan. Tidak kira siapa yang pegang. Kalau parti A yang pegang, tetapi tiada perubahan, apa faedahnya?
Begitu juga parti B. Bagi saya, tidak timbul parti mana yang layak, tetapi usaha seseorang itu untuk memberbanyakkan program Islam dan memberi fahaman Islam yang sebenar kepada masyarakat. Itu yang penting," tegasnya.

Kontroversi mengenai perkara ini timbul selepas media pro-Umno mendakwa PAS menerima tamparan hebat di Selangor apabila parti itu seolah-olah tidak diiktiraf oleh sekutunya di dalam Pakatan Rakyat (PR).
Ini kerana portfolio Hal Ehwal Agama Islam di Selangor bertukar tangan daripada pemimpin PAS kepada PKR pada 18 Januari.
Malah, Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali turut mengkritik keputusan Abdul Khalid dan mendakwa ia memberi jalan kepada kegiatan tidak bermoral dan memelihara kepentingan kumpulan ahli perniagaan menjelang pilihan raya.
Hashim berkata, sekiranya Abdul Khalid menyandang portfolio tersebut
beliau akan memastikan supaya program agama berjalan dengan lebih lancar memandangkan Menteri Besar mepunyai segala keupayaan dan kemudahan.
Tambahnya, Menteri Besar juga tidak akan menggalas tugas itu bersendirian, sebaliknya beliau akan disokong oleh seorang pembantu sama seperti yang dilaksanakan exco sebelum ini untuk meneruskan urusan agama di Selangor.
"Saya tidak nampak perkara ini akan menjejaskan, tetapi gandingan yang hendak membantu itu mestilah terdiri daripada individu yang mempunyai keupayaan dan kesungguhan serta keikhlasan dalam menyebarkan fahaman Islam yang syumul kepada rakyat," ujarnya.

Pada 18 Januari lalu, Abdul Khalid membuat rombakan portfolio ekoran pelantikan Adun Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi sebagai Exco Kerajaan Negeri menggantikan Dr Hasan.
Dr Ahmad Yunus yang sebelum ini merupakan Pembantu Exco Belia dan Sukan dilantik untuk mengetuai portfolio Jawatankuasa Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan.

0 Komen pengunjong :