Sayangi Selangor, tolak Umno BN

KUALA LUMPUR, 3 Jan: Rakyat Selangor mesti bangkit menolak Umno BN untuk kesejahteraan rakyat, kata AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.
Beliau mengulas pembangkang Selangor, Umno BN selesai mengadakan Karnival Sayangi Selangor pada 28 hingga 31 Disember lalu dengan harapan untuk memberi motivasi kepada mereka untuk merampas itu.
Katanya, pemimpin Umno BN menyedari betapa peritnya menjadi pembangkang dan banyak lubuk emas sudah terkambus, maka mereka berusaha sedaya mungkin untuk merampas kembali Selangor

menurutnya, walaupun beberapa isu yang diputar di Selangor untuk menarik perhatian rakyat supaya menyebelahi Umno BN, namun masih lagi gagal.
“Dilemanya pembangkang di Selangor masih memainkan skrip lama dan pengarahnya otak sudah tamat tempoh,” ujarnya kepada Harakahdaily.
Beliau berkata, isu perkauman dan agama diputar dengan melalui televisyen dan media perdana masih tidak mampu merubah pemetaan politik di Selangor.
Ini, katanya kerana rakyat yang celik maklumat anggap itu berita yang layak dibakul sampah sahaja.

“Nekad BN, Selangor mesti dirampas kembali dengan apa cara sekali pun. Banyak program Kementerian dicurahkan ke Selangor, seolah-olah negeri Selangor satu-satu negeri di Malaysia,” ujarnya.
Katanya, pemimpin BN menganggap tidak ada makna Kerajaan Pusat diperintah oleh BN, kalau mereka masih menjadi pembangkang di negeri Selangor di dalam pilihan raya akan datang.
Maklumlah, katanya hampir 40% penyumbang ekonomi Malaysia datang daripada negeri Selangor.
“Insya Allah, oleh kerana BN menumpukan di Selangor, maka Putrajaya pula akan ditawan oleh PR, ibarat untung segantang rugi seguni,” ujarnya lagi.

Justeru, katanya rakyat Selangor pula memang sayang kepada negeri mereka dan mesti bangkit menolak BN.
Beliau mengambil contoh hasil pasir Selangor meningkat sejak PR memerintah Selangor, tahun 2005 (BN) RM 3.54 Juta, tahun 2006 (BN) RM 4.37 Juta, tahun 2007 (BN) RM 4.39 Juta, tahun 2008 ( PR) RM 8.17 Juta, tahun 2009 ( PR) RM 13.76 Juta tahun 2010-sehingga JUN ( PR ) RM 15.3 Juta.

Katanya, ketika pemimpin Umno, Datuk Seri Khir Toyo disabitkan rasuah dan dijatuh hukuman satu tahun penjara oleh mahkamah, maka kerajaan PR Selangor menunjukkan kesungguhan dengan memperuntukkan RM12 juta dalam bajet 2012 untuk memerangi rasuah.
“Asas inilah rakyat sayangi Selangor mereka tidak akan biarkan pemimpin rasuah dan parti rasuah berkuasa kembali di Selangor,” ujarnya lagi.

0 Komen pengunjong :