Memetik Harakahdaily, Hadi berkata rakyat sepatutnya menjadi "hakim" untuk menentukan pemerintah negara selain memahami konsep sebenar politik dan pilihan raya.
Jelas beliau, rakyat seolah-olah diperkotak-katik apabila tiba musim pilihan raya dan berlumba-lumba untuk mendapatkan wang yang ditawarkan kepada mereka.
“Sekarang sudah menjadi trend apabila menjelang pilihan raya, rakyat memikirkan berlumba-lumba nak dapat duit yang ditabur kerajaan dan peluang nak dapat durian runtuh tanpa menyedari kesilapan memilih kerajaan menyebabkan sengsara selama lima tahun selepas itu.
“Sepatutnya kesempatan yang ada diambil rakyat jadi hakim. Bila parti memerintah silap mereka tukar kerajaan seperti berlaku di England, Amerika, India, Indonesia dan lain-lain negara yang mengamalkan demokrasi. Maknanya mereka menjadi hakim," katanya pada Sambutan 60 Tahun PAS Peringkat Kawasan Bera, Pahang malam tadi.
Tambah Ahli Parlimen Marang ini, sudah cukup peluang diberikan kepada Umno-Barisan Nasional (BN) untuk memerintah menambah walaupun sudah mencapai kemerdekaan lebih 50 tahun namun masih terdapat rakyat yang hidup sengsara.
Beliau turut mengajak rakyat mengambil ikhtibar daripada kisah politik semut pada zaman Nabi Sulaiman apabila tentera melalui kawasan serangga itu, di mana ia telah memutuskan untuk menyelamatkan diri.
Kata Hadi, kisah dalam al-Quran ini sepatutnya membuatkan rakyat berfikir bagaimana semut yang lemah menghadapi sebuah kerajaan.
“Cuba tengok orang kita bila orang besar datang, mereka sibuk berkerumun nak dapatkan duit tanpa sedar kuasa dan peranan yang kita ada. Jadi saya seru marilah menjadi rakyat yang bijaksana.
“Cukuplah kita beri peluang kepada Umno-BN memerintah. Selama 50 tahun merdeka masih banyak rakyat yang miskin, orang muda ramai yang menjadi penganggur," katanya.
Tambah Hadi yang berhasrat untuk tidak bertanding pada pilihan raya umum ke-13, masalah kemiskinan rakyat boleh diselesaikan sekiranya pemerintah mengamalkan pentadbiran yang adil dan telus.
“Maknanya selama ini masalah kemiskinan tak boleh selesai kerana kekayaan berlegar di kalangan kroni. Semua orang tahu bahawa hasil negara dan sumber mentah begitu mewah tetapi rakyat miskin,” tegasnya.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak masih merahsiakan tarikh pilihan raya umum ke-13 namun BN dan Pakatan Rakyat telah menggerakkan jentera masing-masing sebagai persediaan.
Mandat semasa kerajaan pusat hanya akan berakhir April 2013.
BN pimpinan Najib dilihat cuba memenangi semula sokongan rakyat negara selepas mengalami kekalahan teruk pada pilihan raya umum 2008, yang menyaksikan Pakatan Rakyat menang di lima negeri dan menafikan majoriti dua pertiga di Parlimen.
0 Komen pengunjong :