AMK: Henti kasari, ugut pelajar turun bendera Najib


KUALA LUMPUR, 20 Dis: Biro Mahasiswa Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia ingin mengingatkan pihak yang mengugut mahasiswa termasuk Pemuda Umno, samseng-samseng dan pihak universiti agar berhenti mengugut dan mengasari mahasiswa jika tidak mahu berhadapan dengan kebangkitan rakyat.
Pengarahnya, Mohd Saifullah Mohd Zulkifli menegaskan sejarah Indonesia pada Reformasi 98 telah membuktikan gerakan mahasiswa mampu menumbang sesebuah regim.
Tambahnya, tindakan pemerintah yang mengasari mahasiswa sehinggakan 3 orang mahasiswa Universitas Trisakti meninggal dunia mengakibatkan kebangkitan anak muda dan rakyat menentang kerajaan yang zalim.
Justeru, tegasnya lagi Biro Mahasiswa Angkatan Muda ingin memberi amaran bahawa bangkitan anak muda di Indonesia itu bakal berlangsung di Malaysia natijah daripada kebobrokan dan keangkuhan pemerintah Umno Barisan Nasional mentadbir Negara.
“Bebaskan mahasiswa dari segala ugutan dan berikan kebebasan mereka dengan mansuhkan Auku,” ujarnya kepada Harakahdaily.
Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada Adam Adli Halim, pimpinan Legasi Mahasiswa Progresif (LMP) yang bertindak menurunkan bendera Perdana Menteri sebagai tindakan protes terhadap sistem pengajian tinggi yang tertutup dan menyekat para akademik dan mahasiswa yang telah menerima pelbagai ugutan termasuk ugutan bunuh, pukul, ludah dan caci maki yang menjatuhkan maruah.
Katanya, ugutan yang dihantar kepada Adam Adli termasuk daripada blogger-blogger pro Umno seperti Papagomo, PAS Beruk, Azmy Kelana Jaya, kiriman SMS malah video melalui Youtube yang dihantar oleh Pemuda Umno Petaling Jaya Utara yang mengugut ingin meludah dan memukul mahasiswa itu.
“Tindakan ini jelas menunjukkan budaya samseng melebar dalam Umno,” katanya.
Menruutnya, Umno cuba mewujudkan politik takut, politic of fear di kalangan mahasiswa yang pada hari ini celik menolak corak kepemimpinan Umno yang zalim dan jumud sebagai langkah untuk membentung mereka terus bangkit.
Katanya beliau, mahasiswa yang kini bangun menuntut agar diberi kebebasan dan keterbukaan untuk para mahasiswa bergerak dan berakademik.
Tambahnya lagi, tindakan menutup ruang mahasiswa jelas menunjukkan bahawa Umno tidak memahami hasrat dan inspirasi mahasiswa untuk melihat masa depan Malaysia yang lebih cerah.

1 comment :

  1. Malaysia inginkan bakal pemimpin yang berani menyatakan KEBENARAN.
    Bravo Zulu para mahasiswa.

    ReplyDelete