KUALA LUMPUR, 31 Okt: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan Umno sebagai 'munafik politik' apabila menjalinkan hubungan kerjasama MoU dengan Parti Komunis China (PKC).
Katanya, dalam isu Mat Indra dan Bukit Kepong, Umno menunjukkan mereka seolah-olah menentang Komunis dan dengan menyerang habis-habisan Paktan Rakyat sedangkan pada masa sama mereka mengiktiraf PKC.
"Perdana Menteri sendiri dalam isu Mat Indra ada menyebut sesiapa mengangkat Komunis adalah satu pengkhianatan kepada negara, sedangkan dalam masa yang sama, Umno jalin hubungan dengan Parti Komunis China.
"Ini hipokrasi politik Umno, kemunafikan politik Umno," katanya pada sidang media di parlimen hari ini.
Sebelum ini, pemimpin PAS khususnya Timbalan Presiden Mohamad Sabu diserang oleh pemimpin Umno sebagai menyanjung Komunis dalam isu serangan rumah pasung Bukit Kepong.
Ianya ekoran Mohamad yang mendakwa Mat Indra adalah pejuang sebenar dalam serangan itu kerana menyerang polis British yang menjajah negara pada waktu itu.
Mengulas lanjut Mahfuz berkata, PKC merupakan dalang kepada Parti Komunis Malaya (PKM) yang membekalkan peralatan persenjatan kepada PKM sewaktu zaman British dahulu.
Sambil mempersoal, bagaimana dalam satu keadaan Umno menentang dan masa yang lain mengiktiraf, beliau juga mahu rakyat menilai sikap Umno itu.
"Orang Melayu harus sedar isu komunis ini dibangkitkan Umno agar pengundi Melayu kembali menyokong Umno," katanya.
Terdahulu beliau turut membangkitkan perkara itu di dewan rakyat sewaktu menanyakan soalan tambahan kepada Timbalan Menteri Luar.
0 Komen pengunjong :