KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar menuntut Perdana Menteri menyatakan mengapa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak berupaya melakukan pembaharuan pilihan raya berdasarkan bidang kuasanya sedia ada.
Dalam soalan bertulisnya, Anwar membangkitkan kelemahan SPR seperti dinyatakan dalam tuntutan Bersih 2.0, sedangkan badan itu berupaya melaksanakan reformasi pilihan raya tanpa perlu cadangan Jawatankuasa Pilihan Parlimen (PSC).
“Perkara ini (kelemahan SPR) menjadi isu besar, bukan sahaja di Malaysia tetapi dibahaskan di peringkat antarabangsa,” katanya dalam perbahasan pagi ini.
Merujuk Indonesia yang berkepadatan 270 juta penduduk, Anwar berkata, dakwat kekal digunakan dalam pilihan raya di negara tersebut.
Justeru, SPR tidak mempunyai alasan untuk melengah-lengahkan reformasi pilihan raya.
“Mengapa SPR yang diberi tanggungjawab besar mengambil masa yang begitu lama untuk menyelesaikan, antaranya isu dakwat kekal.
“Pakatan Rakyat sebelum ini telah pun menyatakan komitmen untuk menyertai PSC. Maka, Menteri perlu ada kaedah apa jua cara untuk mendesak dan memutuskan tindakannya terhadap SPR,” tegas Anwar.
Mesyuarat keempat penggal ketiga sidang Dewan Rakyat ke 12 bermula hari ini dan akan berakhir pada 1 Disember 2011.
0 Komen pengunjong :