KUALA LUMPUR : Slot ucapan hari raya khusus untuk Datin Seri Rosmah Mansor adalah paling istimewa untuk seorang isteri Perdana Menteri kerana ia tidak pernah berlaku sebelum ini.
Dan bagi Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, ia mungkin untuk menceriakan kembali tahap penerimaan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang merudum teruk.
"Sebelum ini, tidak ada mana-mana isteri Perdana Menteri yang mendapat slotnya sendiri untuk memberikan ucapan sempena Hari Raya. Sebelum ini, hanya Perdana Menteri sahaja yang mendapat slot seperti itu.
"Rosmah adalah orang pertama dalam sejarah yang mendapat slot khas untuk memberikan ucapan sempena Hari Raya selain Perdana Menteri," katanya.
Mahfuz tidak menolak kemungkinan Rosmah sendiri yang memaksa supaya diberikan slot khas untuknya sendiri bagi memberikan ucapan selamat Hari Raya.
"Maklumlah kuasanya besar sebagai isteri Perdana Menteri," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu sambil merujuk kepada begitu banyak tuduhan yang mendakwa Rosmah lebih berkuasa dari Perdana Menteri sendiri.
Jika benar Rosmah yang memaksa supaya diberikan slot khas itu kepadanya, Mahfuz tidak menolak kemungkinan isteri Perdana Menteri itu menuntut slot sedemikian untuk memuaskan kehendaknya sendiri.
Tetapi dengan sinis Mahfuz berkata, mungkin juga Rosmah menuntut slot khas itu untuk memulihkan tahap puas hati (approval rating) terhadap Najib yang merudum ke tahap paling teruk sejak September 2009.
"Mungkin bila slot ucapan hari raya Najib dan slot yang khusus untuk Rosmah dipaksakan berkali-kali kepada mereka yang menonton TV sepanjang Hari Raya, tahap puas hati kepada Najib akan naik 95 peratus," sindir Mahfuz (gambar).
Dengan sinis juga beliau menyatakan bahawa beliau sangat berharap orang ramai tidak merasa loya apabila tidak henti-henti dipaksa menonton slot-slot ucapan mereka.
Tahap puas hati terhadap Najib merudum sehingga 59 peratus, yang paling rendah sejak beliau menjadi Perdana Menteri.
Menurut soal selidik yang dikendalikan oleh Merdeka Center antara 11 hingga 27 Ogos 2011 ke atas 1,027 orang responden, tahap puas hati kepada Najib memperlihatkan pola menurun sejak Mei 2010, malah jatuh sebanyak 6 peratus kepada 59 peratus - buat kali pertama di bawah paras 60 peratus dalam tempoh dua tahun, sejak September 2009.
Najib mencatat kemuncak popularitinya di paras 72 peratus pada Mei 2010, dan selepas itu terus merudum dan merudum.
Berdasarkan kaum, tahap puas hati terhadap Najib di kalangan orang-orang Melayu jatuh ke bawah paras 70 peratus, buat kali pertama sejak Disember 2009.
Tahap puas hati di kalangan kaum Cina pula merudum kepada 38 peratus, 11 peratus lebih rendah berbanding hasil soal selidik tiga bulan yang lalu.
Menurut Merdeka Review, penurunan tahap puas hati dari kalangan Cina mungkin sesuatu yang diduga, namun asakan retorik perkauman terhadap kaum Melayu nampaknya tidak memberi kesan positif untuk Najib - sesuatu yang mungkin di luar jangkaan ramai.
Dari kesemua responden dalam soal selidik itu, 51 peratus daripada mereka tidak terdedah kepada maklumat internet, dan hanya 29 peratus responden mendapat pendidikan tinggi.
Polis tahan kambing gemar kejar orang
1 day ago
sy dh nk termuntah tgk minah nie !
ReplyDelete