Siapa sebenarnya pro-komunis?


PETALING JAYA: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mengucapkan tahniah kepada Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu kerana berjaya menarik perhatian umum untuk memasuki ruang perbahasan yang selama ini dianggap taboo untuk dibincangkan.
“Malaysia sebenarnya begitu terasing dengan sejarah perlawanan penjajah. Kita selalu disajikan oleh cerita sejarah yang telah disunting untuk kepentingan pihak tertentu yang mewarisi kepentingan penjajah dan pemodal British.
“Malah dalam beberapa hal pewaris itu lebih melampau dari penjajah asal khususnya dalam bab pembodohan minda,” kata presidennya Badrul Hisham Shaharin dalam satu kenyataan media hari ini.
Badrul Hisham atau CheguBard berkata, setiap kali kemerdekaan maka disajikan hanya Dato’ Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman hinggalah Najib Tun Razak… adakah ini saja hero negara? Sajian sejarah yang disunting ini menjadikan anak muda hilang minat dengan sejarah negara.
“Namun kemerdekaan kali ini yang awalnya dijangka tidak menarik perhatian kerana ditenggelami suasana 1 Syawal telah menjadi begitu menarik. Sejarah yang selama ini taboo telah dibincangkan secara terbuka,” kata beliau yang juga Pengerusi PKR Cabang Rembau.
Ujarnya, “jika benar polemik ini dianggap menghina bekas polis dan tentera maka bagaimana pula dengan pentadbiran kerajaan Umno-Barisan Nasional pimpinan (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Tun Razak yang memberi lesen penerbitan kepada lidah rasmi Parti Komunis China?”

‘The People’s Daily’

Katanya, mengikut laporan Malaysiakini pada 10 Januari 2005, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah meluluskan untuk penerbitan suara rasmi Parti Komunis Malaya bernama ‘The People’s Daily.’
“Mengikut Wikipedia ‘The People’s Daily ialah sebuah akhbar Republik Rakyat China.  Akhbar ini merupakan suara rasmi Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China, yang diterbitkan diseluruh dunia dengan edaran sebanyak tiga hingga empat juta naskhah,” katanya lagi.
“Yang menghairankan katanya, akhbar Harakah diterbitkan dengan 1001 satu syarat, Suara Keadilan tak diberi permit dan banyak lagi terbitan tidak dibenarkan tetapi lidah parti komunis dibenarkan.
“Kalaulah permit ini dibawah urusan kerajaan negeri dan ada negeri Pakatan Rakyat yang memberikan kelulusan maka muncullah tuduhan seperti satu penghinaan kepada bekas-bekas tentera kita yang telah terkorban menentang PKM satu masa dahulu?,” terangnya.
Bukankah PKM bernaung di bawah Parti Komunis China di mana segala kelengkapan mereka datang dari Parti Komunis China? Tidakkah tindakan seperti ini juga seperti meludah di atas pusara mereka yang terkorban dalam peristiwa Bukit Kepong juga?,” soal beliau.
Menurut CheguBard, Umno sendiri menjalinkan hubungan istimewa dengan Parti Komunis China, sehingga ada program pertukaran latihan dan malahan ramai yang tidak sedar Ramadhan yang lepas regim Najib telah menghantar pulang pelarian-pelarian politik Uighur China secara paksa.
“Menghantar pulang pelarian Uighur tersebut akan mendedahkan mereka kepada siksaan, kezaliman dan juga kepada kematian. Bangsa Uighur ini ialah kelompok Islam yang bermasalah dengan Beijing, mereka punya sejarah perjuangan untuk membentuk sebuah negara Islam yang merdeka.
“Menghantar pulang mereka ke China seperti menghantar mereka untuk mati, ini merupakan satu kezaliman yang dilakukan oleh regim Najib lebih-lebih lagi ketika Ramadhan,” jelasnya.
Beliau menyoal, “adakah tindakan Umno ini adalah disebabkan hubungan formal di antara Umno dan Parti Komunis China yang terjalin sejak lama dulu dan diformalkan beberapa tahun lepas.

Hubungan Umno-Parti Komunis China
“Barang diingat, hubungan ini bukan hubungan Kerajaan dengan Kerajaan. Ia adalah hubungan antara parti Umno dengan Parti Komunis China,” tegasnya.
Ujar beliau, “kalau nak kata menghormati pejuang-pejuang yang menentang komunis, ratusan ribu kaum Uighur gugur syahid menentang kebangkitan komunis sekitar tahun 30an dan 40an dahulu.”
Menurut beliau, sebaik sahaja dasar Apartheid di Afrika Selatan ‘runtuh’ maka pada tahun 1994 dibawah kabinet bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, dasar kerajaan telah diubah dengan meluluskan pindaan Akta Larangan Import (pindaan bil.7).
“Perubahan ini bukan sahaja menarik balik sekatan larangan dagang dengan Afrika Selatan tetapi kesempatan diambil untuk menjalin hubungan dagang dengan Israel,” kata CheguBard.
Sejak itu katanya, Malaysia menjadi antara rakan dagang utama dan penyumbang kekuatan ekonomi kepada negara haram Israel ketika kebanyakan negara memboikot Israel.
Katanya, di Perpustakaan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dengan jelas terdapat banyak bahan untuk mempromosi produk Israel seperti majalah Israel-Asia Trade, Israel Review, buku Advantage Israel, Trade Policies Review (Israel), Advance Technology From Israel, Opportunity Israel, The Economics of Israel, Douanes (Buku kod tarif perdagangan Israel) dan beberapa lagi.
“Oleh itu kita tidak hairan, jika Dr Mahathir membayar berjuta-juta ringgit kepada sebuah syarikat Yahudi, Satchi & Satchi untuk membantunya merangka strategi pilihan raya umum (PRU) 1986. Najib pula mengunakan Apco Worldwide untuk persediaan PRU 13,” katanya.

0 Komen pengunjong :