Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin mengulas pertemuan tersebut yang dikatakan untuk memberi taklimat bagaimana dana kerajaan persekutuan diguna untuk menambahbaik sistem penyampaian mahkamah.
“Dari segi prinsip ketelusan undang-undang, ia dilihat satu perkara yang bercanggah dengan pemisahan dalam sistem pentadbiran negara (Eksekutif dan kehakiman).
“Ia memeranjatkan apabila ketua hakim negara telah melanggar kepada prinsip asas itu. Sangat meragukan apabila seorang hakim dilihat membuat kunjungan hormat dalam keadaan PM bakal menjadi saksi dalam kes Fitnah terhadap Anwar yang sedang berjalan,” kata Shamsul.
Shamsul berkata, jika perkara itu berterusan, integriti badan kehakiman akan menjadi semakin teruk dan parah.
“Saya juga menganggap ini merupakan satu indikasi bahawa Najib mungkin akan diselamatkan oleh hakim agar tidak perlu menghadiri sebagai saksi sepertimana yang dilakukan oleh bekas PM Tun Mahathir di mana alasan yang diberikan tidak relevan.
“Apa relevan tindakan hakim berjumpa dengan Najib,” ujarnya yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Melaka.
Ketua Hakim Negara yang bakal bersara, Tun Zaki Azmi hari ini dilapor berkata, pertemuan tersebut bukan perkara baru kerana ia pernah diadakan sebanyak dua kali dengan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi perdana menteri.
Sejumlah 130 hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan menghadiri pertemuan dengan perdana menteri di Istana Kehakiman- yang dulunya dikenali sebagai Istana Keadilan- pada petang ini.
Tun Azmi juga menyatakan pelantikan hakim dan pesuruhjaya kehakiman ke mahkamah lebih tinggi pada masa ini lebih telus kerana ia dilakukan menerusi undi sulit. Sebelum pelantikan dibuat melalui JAC, kata Zaki, beban pelantikan hakim adalah pada pihak eksekutif dan ketua hakim.
0 Komen pengunjong :