KUALA LUMPUR, 22 Julai: Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa menayangkan keseluruhan video perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai, bukan menayangkan 'detik-detik terpilih'.
Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, video yang ditayangkan pihak polis semalam tidak menggambarkan secara keseluruhan situasi pada hari tersebut.
"Tayangan video itu tidak memberi apa-apa makna kerana yang ditayangkan hanya saat-saat dan detik-detik pilihan yang tidak menceritakan keseluruhannya.
"Sepatutnya polis kalau dah ada video tunjuk semua, jangan hanya detik-detik tertentu.Kita minta polis tunjuk semua, jangan hanya detik-detik pilihan yang nak tunjukkan mereka baik sahaja," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas sesi tayangan dan taklimat selama satu jam 30 minit yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, dekat sini petang semalam yang dikatakan bagi menjawab segala dakwaan terhadap salah laku polis.
Video klip itu bagaimanapun hanya menunjukkan 'layanan baik' polis terhadap peserta himpunan termasuk menjawab dakwaan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu bahawa beliau dilanggar pajero polis.
"Saya nampak ianya tidak menujukkan apa-apa konklusi. Video itu tidak menunjukkan saat Mat Sabu jatuh, tak tunjuk sama ada dia jatuh, pajero undur dan langgar dia dan dia jatuh ataupun ada dua buah kereta waja yang langgar dia dan dia jatuh.
"Saya ingat dari segi apa yang ditunjukkan dalam video itu menujukkan bahawa tak ada bukti untuk menunjukkan bahawa Mat Sabu menipu malahan nampak macam polis nak menipu," katanya yang turut cedera di kepala akibat terkena kanister gas pemedih mata dan menerima enam jahitan.
Tambahnya, tindakan polis memilih video sebelum ditayangkan sehingga mengambil masa selama dua minggu amat menimbulkan keraguan.
"Kenapa saat-saat tertentu sahaja yang polis tunujuk? Masa polis tembak gas masa perhimpunan kenapa tak tunjuk?" soalnya yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat.
Dalam taklimat semalam, polis tutut mendakwa peserta perhimpunan yang banyak melakukan provokasi supaya polis menangkap mereka.
Polis bagaimanapun mengakui kemungkinan melepaskan meriam air ke lorong-lorong di belakang hospital Tung Shin manakala asap gas pemedih mata yang ditembak meresapi perkarangan hospital itu.
0 Komen pengunjong :