Khalid: Tuntutan Bersih mahu pastikan SPR pengadil baik

AMPANG, 2 Julai – Tan Sri Khalid Ibrahim menolak dakwaan Umno-BN bahawa Himpunan Bersih 2.0 bertujuan merampas kuasa Putrajaya, sebaliknya pembaharuan yang dituntut Bersih hanya mahu memastikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjadi pengadil yang baik.
Justeru Menteri Besar Selangor menekankan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga seorang pemain seperti diri beliau.
“Saya fikir, jangan mengelirukan antara untuk mengakan pilihan raya yang adil dan bebas dan menawan Putrajaya.
“(Dakwaan) itu memperlekehkan kebijaksanaan pengundi,” kata beliau kepada pemberita selepas melancarkan skim pemilikan tanah kerajaan negeri Selangor di Kampung Bukit Sungai Puteh.
Pagi tadi, Najib mengecam Pengerusi Bersih Datuk Ambiga Sreenevasan dan PAS bahawa Himpunan Bersih 2.0 mahu diadakan untuk merampas kuasa Putrajaya.
“Putrajaya adalah isu yang berbeza. Isu hari ini ialah memastikan adanya pilihan raya yang adil dan bersih, itu sahaja,” katanya.
“Kami tidak bercakap kepada Najib. Najib bukan isunya. Kami bercakap kepada pengadil, kami mahukan pengadil SPR menjadi pengadil yang baik,” katanya.
Najib berkata Ambiga adalah individu yang pernah menggugat kedudukan Islam dan Mohamad Sabu sanggup menjadi timbalan kepada Ambiga demi mendapatkan kuasa politik bagi PAS, yang memerintah Kelantan sejak 1991.
Mohamad, Timbalan Presiden PAS tidak memegang apa-apa jawatan dalam Bersih namun menyokong gerakan itu.
“Najib adalah pemain seperi saya, sama macam Zuraida (Kamaruddin) (Ahli Parlimen Ampang).
“Jadi, kita sepatutnya meminta pengadil yang baik, sekurang-kurangnya menang kalah kita akan berpuas hati,” kata Khalid.
Bersih, yang terdiri daripada 62 pertubuhan bukan kerajaan akan meneruskan Himpunan Bersih 2.0 walaupun polis tidak akan mengeluarkan sebarang permit.

1 comment :

  1. Patutlah mereka nak berlarak ke Istana sebab SPR dibawah Raja Raja rupanya.

    ReplyDelete