KUALA LUMPUR 20 JUN: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kenyataan ahli parlimen Kinabatangan, Bung Mokhtar Radin bahawa perhimpunan Bersih 2.0 membawa kepada 'pertumpahan darah' adalah suatu bentuk ugutan yang tidak berasas sama sekali.
Menurut Anwar, sekiranya Malaysia mengamalkan sistem pilihan raya yang adil, telus dan bersih maka rakyat tidak perlu turun ke jalanan untuk menuntut hak mereka supaya diberikan ruang demokrasi sebenar.
“Sebab itu saya sebut semalam, kalau pilihan raya yang bebas dan adil tidak perlu Brsih 2.0 tetapi liputan berbeda yang mengatakan saya tidak setuju adalah tidak benar. Banyak cara bila sekutu Umno ini buat ugutan, itu tidak betul. Bila ada tunjuk perasaan yang ada pertumpahan darah? Yang terbunuh seperti Ahmad Sarbani Mohamed dan Teoh Beng Hock bukan kerana demonstrasi,” katanya.
Ketika sesi perbahasan Dewan Rakyat,Bung menyatakan bahawa perhimpunan Bersih 2.0 yang bakal diadakan pada 9 Julai ini boleh mengundang ‘pertumpahan darah’ kerana bakal ada pertembungan tiga kumpulan.
Bersih 2.0 telah merancang mengadakan himpunan secara aman untuk menuntut supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjamin senarai undi yang bersih, mereformasikan undi pos, dakwat kekal digunakan, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minima 21 hari, kukuhkan institusi awam, menghentikan rasuah dan politik kotor sejak sekian lama.
Bagaimanapun Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) bertindak mahu mengadakan perhimpunan balas bagi menghalang himpunan Bersih 2.0 yang mahu menuntut keadilan rakyat memilih wakil rakyat mereka.
Tidak cukup dengan itu, Pemuda Umno yang diketuai Khairy Jamaluddin pula mengumumkan bahawa pergerakan itu juga akan turun ke jalanan meski sebelum ini memperlekehkan mereka yang turun mengadakan demonstrasi jalanan.
Pemuda Umno kononnya mahu turun ke jalanan untuk menzahirkan bahawa tidak semua rakyat menyokong apa yang disuarakan oleh Bersih 2.0.
Jelas Anwar, perhimpunan Bersih 2.0 mempunyai maksud yang cukup jelas malah tindak tanduk SPR yang memanipulasi daftar pemilih dan sebagainya sudah dibuktikan.
“Kita tuntut pilihan raya bebas dan adil. Kerajaan kata sekarang pilihan raya yang bebas dan adil. Ahli parlimen Gombak,Azmin Ali bawa bukti yang terang tapi tidak dibetulkan.
"Media tidak ada kebebasan untuk melaporkan yang adil. Sekarang ada bukti berhubung dakwaan Umno Hulu Selangor yang mengarahkan Umno mendaftar rakyat asing Indonesia. Ini semua harus dipertimbangkan,” katanya.
Azmin sebelum ini mendedahkan wujudnya pendaftaran pengundi hantu di rumah diduduki ibunya di Kampung Klang Gate Baru yang memuatkan 11 pemilih berdaftar iaitu enam Melayu dan lima Cina sedangkan ibunya tinggal berseorangan.
Manakala ahli parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin sebelum ini mendedahkan projek IC yang dahulunya popular di Sabah dan sarawak kini menular ke Semenanjung Malaysia.
Zuraida mengemukakan surat yang dihantar Umno Hulu Selangor kepada Kementerian Dalam Negeri- bagi memohon kelulusan kerakyatan kepada 2,000 warga Indonesia dan telah membuat laporan polis mengenainya.
Sehingga kini, tiada maklum balas diberikan oleh polis berhubung laporan berkenaan.
0 Komen pengunjong :