Tindakan Utusan tidak adil- Hata


KUALA LUMPUR: Wartawan kanan Utusan Malaysia, Hata Wahari menyifatkan tindakan pemecatan oleh pihak pengurusan Utusan Melayu Berhad terhadapnya dilakukan secara tidak adil .
Hata, yang juga Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) semalam dipecat oleh majikannya itu selepas didapati bersalah mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan syarat perkhidmatan yang ditetapkan. Pemecatan itu berdasarkan keputusan siasatan dalaman yang dilakukan terhadapnya.
“Ini satu tindakan yang tidak adil.
“Kita tegakkan keadilan, kita tuntut kebebasan media, susah sangatkah untuk laksanakan. Itu saja yang kita mahu. Mereka kena improve dari segi pemberitaandan polisi mereka, itu saja,” katanya ketika dihubungi Keadilandaily.com.
Menurut Hata, selepas menerima nasihat dari peguamnya, beliau akan mengemukakan rayuan dalam tempoh terdekat berhubung keputusan itu supaya jawatannya sebaga iwartawan dikembalikan.
Rayuan itu, katanya, dibuat berdasarkan prosedur dan peraturan yang ditetapkan.
“Selain itu saya akan buat laporan ke Jabatan Perhubungan Perusahaan kerana pemecatan tidak adil,” ujarnya lagi.
Dalam masa yang sama, kata Hata, pemecatan itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus berjuang bagi menuntut kebebasan media di negara ini.
“Saya akan terus perjuangkan kebebasan media dan cuba mula menulis di portal-portal dalam talian dan akhbar lain
“Pada masa sama saya akan bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mahu terbitkan akhbar kerana saya percaya pengalaman saya selama lebih 16 tahun di Utusan mampu membantu dalam perkara ini,” ujarnya.
Berhubung jawatan beliau sebagai Presiden NUJ pula, Hata berkata, terdapat pendapatn mengatakan beliau tidak lagi layak menerajui kesatuan itu berikutan pemecatan tersebut.
Ia katanya, berdasarkan perlembagaan terbaru NUJ.
“Perkembangan terbaru terdapat sesetengah cawangan yang tidak bersetuju saya memegang jawatan sebagai Presiden NUJ kerana saya bukan lagi wartawan, namun saya sedang cuba untuk melihat isu ini,” ujarnya.

0 Komen pengunjong :