Rakyat Mampu Berubah,Tolak Politik Jahat BN

 
PANGKOR 24 APRIL :  Pakatan Rakyat yakin mampu melakukan perubahan yang lebih menguntungkan rakyat negara ini dengan menolak politik jahat serta polisi yang hanya mengayakan kroni semata-mata seperti Barisan Nasional.
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan polisi Pakatan Rakyat sudahpun terbukti lebih baik dalam pentadbiran kerajaan negeri yang di perintah PR berbanding Barisan Nasional.
"Sebab itu kita mahu perintah negeri ini sebab kita mahu Pangkor, Perak dan Malaysia jadi lebih baik. Baik untuk siapa?Menteri? Tak. Baik untuk rakyat, guru, nelayan, pekerja, peladang, dan bukannya untuk pemimpin," kata beliau di hadapan lebih seribu rakyat Pulau Pangkor yang bertemu dengannya di sini semalam.
Walau menghadapi kesukaran akibat tidak dibenarkan mendarat di Jeti Pangkor, Anwar yang kelihatan kurang sihat kerana kecederaan tulang belakangnya tetap bertekad melawat rakyat di Pulau itu.
Malah pada malam sebelumnya, turut terpampar sebuah 'banner' tanpa notis yang mengajak warga Pangkor menolak program Anwar dan Parti Keadilan Rakyat di situ.
Manakala khidmat pesanan ringkas (SMS) palsu dilapor turut disebarkan yang mendakwa program Anwar itu dibatalkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Bagaimanapun Anwar kagum dengan sambutan rakyat di situ apabila difahamkan warga Pangkor telah berkumpul di kawasan jeti kecil Sungai Pinang Kecil dari Teluk Batik bermula jam 5.30 petang lagi.
"Setibanya saya di Pangkor jeti tidak dapat digunakan dan kita sambung di Sungai Pinang Kecil. Kalau tak boleh juga, kita boleh naik sampan atau berenang ke Pangkor. Ini negeri bapa diakah? Kenapa hendak takut dengan saya, saya ni hantu ke?" kata beliau merujuk kepada Menteri Besar Perak Datuk Seri Zambri Abdul Kadir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pangkor.
Menurut Anwar, politik yang dimainkan BN menjurus kepada keuntungan kroni semata-mata sedangkan taraf hidup rakyat masih tidak berubah.
Buktinya menurut Anwar adalah penduduk Pangkor yang rata-rata berpendapatan rendah bekerja sebagai nelayan dan peladang walaupun Menteri Besar Perak ialah anak jati Pulau itu sendiri.
"Datang Pangkor, tengok nelayan. Tengok cara dia kerja, tengok rumah dia, 50 tahun merdeka tahu macam mana hidup. Menteri datang kata ekonomi bagus, pembangunan naik, apa yang bagus? Minyak sumber kita. Tapi mahal. Tapi ingat...Politik itu soal prinsip. Cakap kena fikir. Politik boleh menang dan kalah tapi ingat bila mati kena jawab depan Allah SWT," tegas beliau.
Beliau turut menyeru warga Pangkor dan Perak untuk bangkit menuntut hak mereka yang diabaikan kerajaan BN yang tampak lebih gemar menyerang dirinya dari menyelesaikan masalah rakyat.
Apa politik ni. Orang Cina kata ini politik Shiao-ren Politik Jahat. Orang Melayu kata ini Politik lucah yang aibkan orang. Dia mahu saya menyerah kalah. Serah kalah naik pangkat jadi Tun. Macam Lim Liong Sik. Curi tanah, duit rakyat dapat Tun. Boleh ke dia tidur malam macam tu?Ingat rakyat boleh kasih sayang dengan dia?" kata beliau.

0 Komen pengunjong :