Peringatan Mufti Untuk Pengamal Media


SHAH ALAM 8 APRIL : Kesimpulan yang tuntas dibuat Mufti Selangor, Datuk Tamyes Abdul Wahid bahawasanya penjaja fitnah adalah manusia yang rendah moralnya. Dalam hubungan ini, adalah jelas beliau bukan menuding jari kepada mana-mana individu tetapi menegur pengamal industri maklumat umumnya.
Pengamatan beliau sangat tepat pada waktunya. Rakyat Malaysia umumnya, kini dibelit kecelaruan pemikiran dek diasak oleh industri media yang semakin hilang pedoman kemanusiaan, kesusilaan, dan akhlaknya.
Media hari ini, tamsil beliau, telah tercerai daripada fungsi dan matlamat asalnya untuk memaklumatkan insan lantas menjadikan mereka lebih mulia.
Ibarat ini dapat diserap daripada mesej khusus daripada Allah S.W.T: “Sungguh, Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. Kemudian Kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya” (Ayat 4-5 Surah At Tin).
Betapa tidaknya, saban hari terlalu banyak maklumat yang bersilang datang dari pelbagai sumber. Setiap sumber bermatlamat untuk mempengaruhi pemikiran dan membentuk persepsi manusia menurut kemahuan sumber. Usaha ini dilakukan secara sedar dan sengaja kerana ganjarannya laba yang amat besar dan memenuhi nafsu duniawi.
Tidak kira dari mana sumber maklumat itu datang sama ada dari benak peribadi ataupun berstruktur dalam bentuk media formal dan tidak formal seperti internet natijah lambakan maklumat ini bukan sahaja mengelirukan malah boleh menyesatkan.
Sebab itu, manusia perlu kepada sumber yang bersih, luhur dan mulia. Maka, apakah ada sumber maklumat  yang lebih mulia daripada Al-Quranul karim? Ia adalah panduan, pedoman dan arahan mutlak daripada Allah azza wa jalla.  
Alhamdulillah, maka tampillah ulama seperti Datuk Tamyes. Media berstruktur yang sering dipanggil arus perdana harus diinsafkan akan tanggungjawab yang perlu dipikulnya. Kesan dan akibat kegiatan industri media amat besar. Maka amat bersesuaianlah bagi penggiatnya diperingatkan dengan firman  Allah.
“Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong adalah daripada golongan kalian (juga). Janganlah kalian mengira berita itu buruk bagi kalian, bahkan itu baik bagi kalian. Setiap orang dari mereka akan mendapat balasan dari dosa yang diperbuatnya. Dan barangsiapa di antara mereka yang mengambil bahagian terbesar (dari dosa yang diperbuatnya), dia mendapat azab yang besar (pula)” (Ayat 11 Surah Annuur)
Meskipun asbabunuzul ayat ini bersangkut terus dengan kisah fitnah terhadap isteri Rasulullah s.a.w., Saidatina Aisyah r.a., pemakaiannya sebagai peringatan kepada mereka yang menyebar khabar bohong dan fitnah adalah amat releven, terutama mereka yang mengusahakan industri maklumat.
Dalam soal aktiviti menggunakan media untuk menyebar khabar bohong bertujuan mengaibkan sesuatu pihak ini, Allah memberi perincian bagaimana menanganinya. Bagi khalayak pembaca akhbar, majalah, penonton televisyen dan pelayar internet, Allah mengarahkan mereka mengambil sikap sebegini:
“Mengapa orang-orang mukmin dan mukminat tidak berbaik sangka terhadap diri mereka sendiri, ketika kalian mendengar berita bohong itu dan berkata, “ini adalah (suatu berita) bohong yang nyata.” (Ayat 12 Surah Annuur)
Pengarahan ini diberikan Allah kerana memang sudah diwajibkan setiap orang beriman supaya mematuhi prosedur penghakiman kes-kes berita bohong lagi fitnah ini. Ini berpandukan ayat berikut:
“Mengapa mereka (yang menuduh itu) tidak datang membawa empat saksi? Oleh kerana mereka tidak membawa saksi-saksi, maka mereka itu dalam pandangan Allah adalah orang-orang yang berdusta. ” (Ayat 13 Surah Annuur).
Lantas Datuk Tamyes sebagai ulama yang bertanggungjawab tampil untuk menegaskan, bahawa prosedur pengadilan jenayah fitnah berkait tuduhan zina mesti ada saksi. Barang bukti yang mati, termasuk video (sama ada diperolehi secara sah atau tidak) tidak boleh diketengahkan sebagai bukti. Ini ketetapan Allah.
Beliau menyifatkan dalang yang menyebarkan fitnah mengenai video lucah yang kebelakangan ini mengisi dada akhbar dan televisyen di negara ini sebagai orang yang "moralnya terlalu rendah" dan tidak tahu membezakan fitnah ataupun bukan.
"Benda yang dikutuk oleh Allah dimain-mainkan. Sebab apa? Orang yang membuat tuduhan tanpa bukti yang kukuh boleh dihukum qazaf. Sekarang ini benda fitnah sudah jadi lumrah," kata beliau.
Menurut Datuk Tamyes, mereka yang membuat pertuduhan seharusnya membuktikan dakwaan mereka dan bukan sebaliknya.
"Kalau ada bukti yang jelas, lainlah. Ini hanya video,dan video tak boleh dijadikan bukti sebenarnya. Dalam hukum fiqah, bukti (yang harus dibawa) si penuduh adalah saksi. Benda mati tak boleh jadi saksi. Kemudian orang yang dituduh boleh bersumpah . Ini orang yang menuduh bersumpah, orang yang didakwa (pula) kena cari bukti. Ini dah terbalik," ulas Mufti itu lagi.
Datuk Tamyes turut membidas media yang memainkan isu berkenaan bagi kepentingan pihak tertentu dan keuntungan sementara walaupun ia salah dari segi moral dan agama.
"Kita jangan mewar-warkan benda bukan-bukan. Ini boleh menyebabkan ketidakadilan. Perlakuan fitnah haruslah dielakkan," tegas beliau.
Datuk Tamyes berkata, media massa tidak patut berfikir untuk melariskan perniagaan semata-mata tetapi harus arif dalam hukum-ahkam Islam supaya dosa fitnah tidak terpalit kepada mereka.
"Sebab kita yang mewar-warkan juga dapat 'saham' dosa," kata beliau.
Sebab itu, bagi mereka yang berilmu, akan segera nampak dan insaf perihal cara untuk meleraikan kesan dan cengkaman maklumat yang bersilang, songsang dan berbaur hasad ini. Sememangnya berbekalkan  latihan rohani yang tinggi sebegini agak mudah bagi orang berilmu membedakan di antara hak dan bathil.
“Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar perbuatan yang sangat keji itu (berita bohong) tersiar di kalangan orang-orang beriman, mereka mendapat azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Dan Allah mengetahui, sedang kalian tidak mengetahui.” (Ayat 19 Surah Annuur). Masih belum terlambat. Ada masa untuk bertaubat. Bertindak sekarang.

0 Komen pengunjong :