KUALA LUMPUR: Jaminan Hishammuddin Tun Hussein bahawa anggota Rela tidak akan dijadikan pengundi pos sedikit pun tidak meyakinkan pihak pembangkang, khususnya Pakatan Rakyat.
Bercakap kepada para pemberita di Parlimen, Senator Dr Syed Husin Ali dari PKR berkata, agak sukar untuk mempercayai jaminan Menteri Dalam Negeri itu bahawa para anggota Rela tidak akan ditukar menjadi pengundi pos.
"Walaupun terdapat jaminan daripada beliau, kami tetap ragu dan bimbang kerana bilangan anggota Rela semakin bertambah di negara ini. Terdapat kemungkinan mereka akan digunakan sebagai pengundi pos pada pilihan raya umum (PRU) ke 13," katanya.
Syed Husin berkata, "sehingga 31 Oktober, terdapat kira-kira dua juta anggota Rela di negara ini. Tambahan pula, sekumpulan anggota Rela akan ditempatkan di setiap kawasan Parlimen," katanya.
Ironinya, negeri-negeri yang mempunyai ramai anggota Rela adalah negeri-negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat seperti Selangor, Perak (yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat pada PRU13 dan kemudian digulingkan) dan Sabah.
Anggota Rela paling ramai di Selangor
Dewasa ini, Selangor mempunyai jumlah anggota Rela paling ramai iaitu 355,269 ahli. Ini diikuti oleh Perak dengan 294,900 ahli dan Sabah 168,407 ahli. Jumlah ini dijangka meningkat pada 2011 menjelang PRU ke 13.
Ketua Penerangan PAS Idris Ahmad baru-baru ini memberi amaran kepada negeri-negeri Pakatan Rakyat mengenai strategi jahat Umno-Barisan Nasional (BN) ini.
Amaran beliau berikutan langkah kerajaan persekutuan untuk menambah bilangan anggota Rela di Selangor seramai 300,000 tahun depan.
Idris menyifatkan langkah ini sebagai strategi "taktikal" oleh Umno-BN untuk menambah "simpanan tetap" mereka dalam bentuk pengundi pos dan untuk merampas Selangor dari Pakatan Rakyat.
Beliau berkata, "cara ini pernah dilakukan sebelum ini. Modus operandi BN untuk merampas Terengganu pada 2004 ialah dengan menambah bilangan pengundi pos. Beginilah caranya Umno-BN mengambil alih Terengganu.
"Kami sedar bahawa Umno-BN sedang memperkukuhkan kubunya di merata tempat. Mereka mahu menyingkirkan Pakatan Rakyat," katanya.
Undi pos cabaran bagi Pakatan Rakyat
Dalam pilihan raya kecil Galas (Kelantan) dan Batu Sapi (Sabah) baru-baru ini, para pemerhati politik berkata setiap calon BN telah pun memperolehi lebih 1,000 undi sebelum hari pengundi lagi.
Dalam PRU 2008 yang bersejarah itu, kemenangan BN adalah hasil dari "simpanan tetap" berupa para pengundi pos iaitu mereka yang terdiri dari kalangan anggota polis dan tentera.
Bagaimanapun, menjelang PRU ke 13, Perdana Menteri Najib Tun Razak yang kelihatan gelisah sedang berhempas pulas untuk bergayut pada Putrajaya dengan apa cara sekali pun.
Adalah dilaporkan bahawa semua isteri dan ahli keluarga pasukan beruniform diarahkan oleh pihak berkuasa untuk mendaftar sebagai pengundi pos. Arahan berupa cabaran bagi Pakatan Rakyat untuk mara ke Putrajaya.
-/FMT
0 Komen pengunjong :