Mengapa Nazri Dedah Surat Apco Selepas Anwar Digantung



SHAH ALAM 23 DIS : Ketua Cabang PKR Rembau Badrul Hisham Shaharin mempertikaikan tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz  mendedahkan surat syarikat perunding Israel, Apco Worldwide kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen, semalam.

Badrul dalam twitternya menulis kerajaan Barisan Nasional menafikan hak Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan hanya merujuk suraf nafi dari Apco tetapi Azmin dan lain-lain digantung kerana dedah surat Apco.

Tetapi yang menjadi persoalan Badrul ialah Nazri tunjuk surat berkenaan dalam sidang akhbarnya semalam.

Nazri mengakui pembabitan Apco dalam memberikan khidmat rundingan komunikasi terhadap kerajaan Malaysia, yang sekaligus mengesahkan pembabitan Apco dalam kempen 1Malaysia.

Dalam laporan yang di siar sebuah portal berita, Nazri menunjukkan dua surat yang mengesahkan pembabitan Apco dengan pentadbiran Najib iaitu dalam bukti dua dokumen.

Salah satunya surat daripada Apco yang menyebut, firma perhubungan awam itu dilantik oleh pentadbiran Najib untuk menyediakan sokongan komunikasi.

Terdahulu, Ahli Parlimen Gombak Azmin Ali dan dua ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang lain dalam sidang Parlimen minggu lalu turut digantung selepas didakwa mendedahkan surat yang didakwa melanggari hak keistimewaan ahli Parlimen oleh Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution dalam reaksinya berkata pendedahan Nazri itu sebenarnya mengesahkan bahawa Apco memainkan peranan sebagai penasihat dalam kempen 1Malaysia melalui sokongan komunikasi yang ditawarkan.

“1Malaysia adalah slogan yang dibawa Najib, dan tagline ini perlu dikomunikasikan kepada rakyat, jadi salah satu peranan Apco adalah menasihati kerajaan melalui perkhidmatan komunikasi ini supaya slogan ini sampai kepada rakyat. Ini lah yang kita katakan pembabitan Apco dalam kempen 1Malaysia,”jelasnya.

Beliau juga mempersoalkan kenapa baru kini Nazri mahu membalas pendedahan Anwar, selepas Ketua Pembangkang itu digantung dari sesi parlimen selama 6 bulan oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

“Walaupun selama ini Anwar ada bukti penglibatan Apco dan mahu membentangkannya di Parlimen, Nazri dan Najib hanya berdiam diri dan kenapa terus menggantung Anwar selama enam bulan? Kenapa selepas Anwar digantung, barulah Nazri bercakap kepada media menunjukkan surat yang dihantar Apco kepada kerajaan BN?

“Anwar sudah pun mencabar Najib untuk menafikan pembabitan Apco sejak dari bulan April lagi. Dan mereka ambil masa 8 bulan untuk menjawab perkara ini sekarang,” kata Saifuddin lagi.

Nazri Aziz mengemukakan dua bukti dokumen, iaitu surat daripada Apco dan kenyataan notari berkanun oleh Robert Shrum, perunding politik yang menggubal konsep One Israel.

Kedua-dua dokumen itu hanya dikemukakan setelah Jawatankuasa Hak dan Kebebasan menggantung Anwar bersama tiga Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang lain selama enam bulan pada 16 Disember lalu.

Anwar digantung dari Parlimen tanpa dipanggil membela diri berhubung pendedahan beliau tentang pembabitan APCO Worldwide, firma Yahudi yang terlibat dalam kempen 1 Malaysia yang dicanangkan Najib, yang menyamai kempen One Israel.

-/TVSelangor

0 Komen pengunjong :