DUN Tenang Pintu Masuk PR Ke Johor



SHAH ALAM 28 DIS : Pakatan Rakyat akan memberi lebih tumpuan kepada gerak kerja gagasan itu dalam merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang kata Pengarah Strategi lantikan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli. 
Jentera parti yang sudah pun digerakkan seusai kerusi itu diumumkan kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Sulaiman Taha dari Barisan Nasional 17 Disember lalu, akan diperkukuhkan lagi dengan beberapa perubahan strategi bagi memantapkan gerak kerja parti. 
" Keutamaan kita bukan lagi gah pada fizikal, keutamaan kita ialah berkesan atau tidak gerak kerja kita untuk sampai kepada pengundi.
" Jadi mungkin ada dua tiga perubahan yang akan kita susun untuk gerak kerja dan kempen kita di Tenang berbanding tempat-tempat lain,"kata Rafizi dalam temubual khas di Tv Selangor hari ini. 
Tanpa berselindung bahawa DUN Tenang adalah pintu masuk Pakatan Rakyat ke negeri Johor, katanya, Pakatan yakin gagasan itu dinantikan oleh rakyat Johor untuk membawa sinar perubahan di negeri tersebut.  
" DUN Tenang secara strateginya ialah pintu masuk kita ke Johor. Sebab DUN Tenang ini adalah negeri penting seperti Selangor. Ada tanda-tanda rakyat Johor juga mahukan perubahan.
" Keputusan di Tenang nanti adalah lambang ke arah itu. Persediaan kita, kita telah mula," tambah Rafizi lagi.  
Pakatan Rakyat pada Kongres Kebangsaan keduanya di Kepala Batas 19 Disember lalu memutuskan akan meletakkan calon PAS pada pilihan raya kecil Tenang. 
Pakatan itu yang terdiri daripada PAS, PKR dan DAP membulatkan tekad untuk memastikan kubu kuat BN itu dapat ditawan pada pilihan raya kecil kali ini. 
Justeru menurut Rafizi, iltizam itu akan diterjemahkan melalui beberapa perubahan strategi dalam tanpa mengenepikan elemen penting dalam meraih kemenangan di DUN tersebut.
" Fokus kita kali ini ialah bagaimana cara terbaik, paling berkesan supaya mesej-mesej kita, penerangan yang kita tetapkan itu, betul-betul sampai kepada rakyat.
" Yang penting adalah Tenang ini secara demografinya adalah kawasan campuran. 52% bukan Melayu dan 48% Melayu. Jadi banyak daerah-daerah mengundi itu melambangkan percampuran rakyat sebegini. Kerana itu, fungsi parti PKR sebagai parti berbilang bangsa agak sentral dengan keseluruhan kempen," tambah Rafizi lagi.    
Tarikh pilihan raya kecil DUN Tenang, di Labis, Johor ditetapkan pada 30 Januari depan.
Manakala tarikh penamaan calon ditetapkan pada 22 Januari.
Menurut Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusoff, seramai 14,753 pengundi yang melibat 14,735 pengundi biasa dan 18 pengundi pos, layak memilih ADUN Tenang. 
Pilihan raya kecil itu akan menggunakan Daftar Pemilih Induk (DPI) 2009 yang digabungkan dengan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun ketiga tahun ini yang telah dikemaskini sehingga 17 Disember lalu.
Sebanyak 376 petugas telah dilantik sepanjang lapan hari tempoh berkempen. Manakala seorang pengurus pilihan raya dan tiga penolongnya daripada Majlis Daerah Labis turut dilantik.

0 Komen pengunjong :