Utusan Rugi Apabila Pembaca Bosan Corak Pemberitaan





SHAH ALAM 26 NOV : Kerugian yang dicatatkan akhbar Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, berpunca daripada pembaca yang tidak lagi menggemari corak laporan akhbar itu kata tokoh wartawan veteran, Said Zahari.

Melihatkan kepada perkembangan dan trend pembaca hari ini, Said berkata, sebenarnya pembaca mulai bosan dengan corak pemberitaan terkongkong yang diamalkan oleh Utusan.

Utusan katanya harus kembali sebagai sebuah medium yang bebas dalam melaporkan jika mahu memulihkan kembali jumlah edarannya.

"Utusan Melayu sebelum ini melakukannya dengan baik tetapi sampai apabila ia dikuasai oleh parti politik(Umno) dan pemberitaannya dan juga dasar-dasarnya, ia menjadi sempitlah. Sebab surat khabar ini untuk seluruh rakyat," katanya.  

Tambah Said lagi, walaupun Utusan tidak mengisytiharkan mereka adalah lidah rasmi Umno dan kerajaan, namun rakyat katanya bijak 'membaca' berdasarkan laporan akhbar itu.

Lalu masyarakat menzahirkan rasa tidak senang mereka melalui memboikot atau tidak membeli akhbar berkenaan dan fakta itu dikuatkan lagi dengan kerugian lebih RM10 juta yang dialami oleh Utusan kata Said. 

"Saya fikir ini bukan soal muak tetapi soal apa yang dipaparkan oleh Utusan Melayu ini terlalu tersekat, ataupun banyak laporan-laporan dari parti pembangkang dan umum yang tidak tersiar dalam surat khabar itu kerana mungkin penguasa akhbar itu tidak suka selain daripada partinya sendiri," ujar beliau. 

Said menambah, untuk menjadi sebuah media yang digemari dan dapat menarik ramai pembaca, ia bukan lagi seperti zamannya dahulu, apabila Utusan yang pada asalnya dikeluarkan dalam edisi Jawi, menukarnya kepada rumi untuk menarik pembaca pelbagai kaum, namun dasar dan corak pemberitaan itu perlulah lebih diutamakan.

"Tetapi itu sahaja tidak cukup untuk orang ramai membaca surat khabar itu.Ertinya surat khabar itu harus memainkan peranan yang bebas daripada penguasaan parti politik atau kerajaan," katanya lagi.  

Bercakap kepada Tv Selangor, Said yang juga bekas pengarang akhbar tersebut suatu ketika dahulu berkata, kurangnya minat pembaca membeli akhbar Utusan mengakibatkan para pengiklan sekaligus berpindah kepada media-media lain yang lebih mendapat perhatian pembaca di negara ini.

"Kalau soal iklan, iklan ini berkaitan dengan perniagaan. Pengiklan-pengiklan ini akan mengiklankan produk mereka di dalam surat khabar buku atau apa pun yang banyak pembacanya kerana ia ditujukan kepada pembaca. 

"Orang-orang tidak akan mengiklankan produk-produk mereka sekiranya surat khabar itu pembacanya makin menurun," kata Said Zahari ketika diminta mengulas penurun edaran Utusan Melayu yang mencatatkan kerugian pracukai RM10.682 juta untuk tempoh sembilan bulan berakhir 30 September, 2010 berbanding keuntungan pracukai RM1.707 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.    

Utusan Melayu (Malaysia) Berhad hari ini dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia berkata, akhbar itu mengalami kerugian akibat kurang mendapat sambutan dari pengiklan-pengiklan selain mendapat saingan sengit dari saluran media lain.

Pendapatan akhbar itu dikatakan merosot akibat pengiklanan daripada RM253.847 sebelumnya kepada RM244.564 juta.

Manakala untuk suku ketiga berakhir 30 Sept, 2010, Utusan mencatatkan keuntungan pracukai yang rendah iaitu RM1.736 juta daripada RM10.128 juta dalam suku yang sama tahun lepas lapor Bernama.

0 Komen pengunjong :