PETALING JAYA: Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail petang semalam menerima enam resolusi yang dikemukakan Kumpulan Rapat Anak Muda PKR sebagai satu alternatif bagi menyelesaikan kemelut dalaman parti itu.
Resolusi itu diserahkan oleh wakil yang dilantik kumpulan tersebut iaitu Pengerusi PKR Pahang Datuk Fauzi Abdul Rahman kepada Wan Azizah di Ibu Pejabat PKR kira-kira pukul 6.00 petang.
Enam resolusi yang dikemukakan Rapat Anak Muda PKR merangkumi;
1. Media tidak harus digunakan sebagai medan perdebatan
2. Pemilihan parti seharusnya berasaskan idea segar, nilai dan rekod
ke arah memperkasa anggota dan rakyat.
3. Rapat anak muda memperakui bahawa pemilihan parti kali ini mempunyai banyak masalah.
4. Parti mesti dengan segera memberhentikan proses pemilihan yang sedang berlangsung sehingga semua aduan disiasat.
5. Memutuskan agar semua calon dan/atau pemimpin di semua peringkat tidak mengambil tindakan meletakkan jawatan dan/atau menarik diri daripada bertanding berikutan krisis yang melanda.
6. Atas sifatnya sebagai seorang tokoh yang disegani dan tidak bertanding, Rapat Anak Muda bersetuju agar Fauzi menjadi jurucakap dan membawa resolusi ini untuk diserahkan kepada Presiden parti.
Kumpulan tersebut yang diwakili calon Ketua Angkatan Muda (AMK) Badrul Hisham Shaharin mengadakan pertemuan dengan Wan Azizah serta ahli Biro Politik iaitu Bendahari PKR William Leong dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Dr Mohd Noor Manuty.
Isu berbangkit
Isu berbangkit
Badrul atau lebih dikenali Chegu Bard ketika dihubungi FMT berkata, hasil pertemuan kira-kira satu jam setengah dengan Presiden dan Biro Politik itu banyak membincangkan isu berbangkit dalam resolusi tersebut.
"Presiden memberikan harapan positif. Beliau berjanji akan memberikan respon melalui kenyataan rasmi hari ini tentang resolusi yang dikemukakan.
"Resolusi ini bukan nak bagi tekanan kepada Presiden dan parti tetapi cuma membawa suara di peringkat akar umbi tentang masalah yang dialami," katanya.
Sementara itu, Wan Azizah ketika ditemui pemberita selepas pertemuan terbabit menolak dakwaan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP)
tidak mengambil sebarang tindakan mengenai aduan yang dibuat sepanjang pemilihan MPP dan mesyuarat cabang parti.
"Kita serah kepada JPP untuk mengenal pasti aduan dan masalah yang dikemukakan…dakwaan kata JPP tidak ambil tindakan tidak betul.
"JPP sebaliknya telah kenal pasti aduan tersebut dan kita harap PKR diberi peluang untuk meneruskan pemilihan kali ini," katanya.
Pedulikan saja pergeseran antara pemimpin PKR (SUBTAJUK) Sementara itu, Chegu Bard menegaskan dirinya sama sekali tidak akan keluar parti walaupun Datuk Zaid Ibrahim mengambil keputusan menarik diri daripada bertanding Timbalan Presiden manakala pemimpin dalam ‘kem’ Zaid semuanya kini mula mengubah pendirian untuk taat setia kepada PKR dan Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Hak saya untuk pilih dan sokong mana-mana calon. Bagi saya adalah pedulikan sahaja jika pemimpin lain mahu bertelagah kerana itu hak mereka, yang penting kena fokus untuk perkukuhkan parti," katanya.
Mengulas mengenai cadangan Zaid yang mahu menubuhkan "Keadilan Baru" sekiranya beliau dipecat, beliau berpendapat PKR sedia ada masih lagi relevan.
"Bukan mudah membentuk parti politik. Bagi saya PKR masih relevan.Cuma ia memerlukan lebih ramai kelompok muda dengan idea segar dan kekal setia untuk terus kekal relevan," katanya.
0 Komen pengunjong :