KUALA LUMPUR 7 NOV : Pemuda PAS Wilayah Persekutuan memandang serius kedudukan Malaysia yang jatuh sepuluh anak tangga kepada kedudukan 141 daripada 178 buah negara keseluruhan bagi Indeks Kebebasan Akhbar Dunia 2010. Sedangkan di tahun lepas, Malaysia menduduki tempat ke 131.
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan Fadhil Osman dalam satu kenyataan media berkata kejatuhan ranking Indeks Kebebesan Akhbar di Malaysia menunjukkan bahawa negara Malaysia belum benar-benar menikmat demokrasi tulen seperti mana yang dimomokkan oleh UMNO-BN selama ini.
Ini dibuktikan dengan pelbagai tekanan yang dikenakan terhadap rakyat khususnya pembangkang. Kebebasan bersuara, berhimpun, menulis dan menerbit dikawal sedemikian rupa agar rakyat tidak mendapat akses yang cukup terhadap maklumat alternatif.
Tegas Fadhil, "Ditambah dengan pelbagai akta seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Rahsia Rasmi (OSA), dan lain-lain lagi merupakan ugutan rasmi kepada rakyat khususnya media."
"Justeru, tidak hairanlah kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia jatuh merudum. " katanya.
Akhbar rasmi negara dikawal agar menerbitkan pandangan dari pihak kerajaan UMNO-BN serta berita-berita dari UMNO-BN sahaja (sepertimana liputan meluas akhbar dan media rasmi terhadap Perhimpunan Agung UMNO setiap tahun). Sedangkan akhbar rasmi negara seharusnya dimiliki oleh kerajaan dan rakyat yang bebas dari kongkongan politik.
DPPWP mengajak kerajaan UMNO-BN mencontohi negara maju yang telah mengamalkan demokrasi yang sihat. Negara seperti Finland, Iceland, Belanda, Norway, Sweden dan Switzerland adalah contoh negara yang berada di kedudukan teratas dari sudut kebebasan akhbar mereka. Media mereka tidak terikat oleh tekanan kerajaan.
"Bahkan mereka mampu mengkritik Presiden atau Perdana Menteri mereka terhadap sesuatu polisi dan dasar. Selain itu, negara seperti Indonesia yang baru pulih dari rejim Suharto tahun 1998, mampu untuk memperbaiki kedudukan mereka dengan berada di kedudukan ke 117. "katanya lagi.
Media Indonesia diberikan kebebasan untuk membuat liputan parti-parti serta tokoh yang akan bertanding dalam Pilihanraya Umum mereka, sesuatu yang tidak pernah dirasai oleh Malaysia.
DPPWP menegaskan sekiranya Malaysia ingin pulih dan naik ke ranking yang tertinggi bagi Indeks Kebebasan Akhbar Dunia, akhbar dan media di Malaysia perlu dipulihkan serta dibebaskan dari kongkongan politik kepartian.
0 Komen pengunjong :