Kerajaan Umno-BN Enggan Mansuh Saman Ekor

samanekorKUALA LUMPUR 4 Nov - Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop semalam menegaskan kementeriannya enggan memansuhkan 17 juta saman ekor yang telah dikeluarkan pihak polis walaupun mendapat rungutan daripada pelbagai pihak berhubung kesahihan saman tersebut.

Dalam soalan tambahan  Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata jawapan yang diberikan oleh Menteri tersebut sebagai cuba mengelirukan Dewan.

"Menurut Seksen 115 Akta Pengangkutan Jalan menyebut bahawa jika seseorang itu gagal memenuhi notis pemberitahuan tentang kelajuan yang melebihi had laju dalam tempoh dikenakan (tempoh tujuh hari), ia adalah merupakan satu kesalahan melainkan seseorang itu berjaya membuktikan tidak bersalah dan memuaskan hati mahkamah.

"Persoalannya di sini, saman ekor yang telah dikeluarkan tidak pernah dibawa ke mahkamah sama ada kegagalan mereka memenuhi notis tersebut atau pun hal-hal yang berkaitan dengan kesalahan melebihi had laju," ujar Mahfuz.

Beliau turut meminta pihak polis agar mematuhi prosedur yang telah ditetapkan kerana rungutan pengguna jalan raya yang dikenakan saman ekor memberitahu mereka tidak pernah dipanggil ke mahkamah.

"Kalau mereka yang dikenakan saman ekor ini dipanggil ke mahkamah, kesalahan tidak menghadiri perbicaraan akan membolehkan mereka ditangkap.

"Kerajaan juga baru membentangkan akta tersebut dalam bacaan kali kedua Rang Undang-Undang, Akta Pengangkutan Jalan yang menyatakan  takrif berkaitan imej rakaman.

"Maka saman ekor yang telah dikeluarkan oleh pihak polis berdasarkan rakaman imej sebelum ini adalah tidak sah disebabkan ianya belum  termaktub di dalam akta yang akan digubal. Tindakan ini menyalahi undang-undang kerana perkara tersebut baru hendak dimasukkan ke dalam akta," tegasnya.

Dalam pada itu, Mahfuz turut meminta supaya  17 juta saman ekor yang telah dikeluarkan dengan anggaran membabitkan kos kewangan sebanyak RM 1.8 bilion diputihkan rekodnya terlebih dahulu sebelum akta baru itu dilaksanakan.

0 Komen pengunjong :